PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengakui, di sebalik sumbangan dan pertanggungjawaban menggalas amanah kenegaraan, UMNO berhadapan dengan sentimen dan penolakan orang Melayu terhadap keberadaan parti itu di dalam Kerajaan Perpaduan.
Katanya, UMNO membayar pada harga yang mahal, dihina, dicaci dan dilabelkan sebagai UMDAP.
‘’UMNO dikatakan telah mencairkan asas perjuangan. UMNO dituduh khianat terhadap kepentingan Melayu dan Islam, semata-mata mahu berpaut pada dahan kuasa. Malah UMNO dituduh takut dan tunduk kepada rakan- rakan politik di dalam Kerajaan Perpaduan.
‘’Walaupun kita menjunjung titah perpaduan, walaupun kita bersama Kerajaan Perpaduan untuk menyelamatkan negara daripada kemelut berpanjangan, sentimen penolakan ini tidak boleh dikesampingkan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2025, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Sambi menyebut beberapa isu yang menunjukkan ketegasan UMNO, Ahmad Zahid menegaskan, parti itu tidak pernah mengorbankan manifestasi perjuangan parti keramat ini.
‘’Malah, ‘No Anwar No DAP’ menjadi mantra untuk menggambarkan seolah-olah kita mencabuli keputusan yang dibuat di dalam Perhimpunan Agung UMNO. Sedangkan, keputusan ‘No Anwar No DAP No Bersatu’ dibuat sebagai pendirian untuk bergerak solo pada PRU-15 yang lalu.
‘’Hakikatnya, kita mengambil keputusan bersama Kerajaan hari ini setelah ada pihak yang menolak titah Yang Di-Pertuan Agong supaya dibentuk Kerajaan Perpaduan sesama mereka,’’ katanya
Beliau berkata, UMNO juga terpalit dengan sentimen kelemahan kerajaan yang membawa kepada terhakisnya sokongan sama ada daripada kalangan ahli mahupunorang-orang Melayu secara keseluruhannya.
‘’ Keberadaan kita di dalam Kerajaan Perpaduan ini juga walaupun atas kepentingan negara, ia telah mengundang keretakan hubungan mesra sesama parti komponen Barisan Nasional. Hinggakan ada yang telah membuat keputusan untuk meninggalkan gabungan yang selama ini menjadi tonggak kestabilan negara,’’ katanya.
Selain itu, kata Ahmad Zahid saban hari turut diratibkan keputusan menyertai Kerajaan Perpaduan adalah untuk menyelamatkan dirinya dan dikatakan mengenepikan setiakawannya kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.
‘’Malah, simpati kita, pembelaan kita solidariti kita kepada beliau menjadi bahan momokan dan dipersendakan. Apabila menyebut nama Dato’ Seri Najib, sokongan kita tidak pernah berubah.
‘’Usaha pembelaan kita tidak pernah goyah. Malah, beliau telah menghubungi saya untuk menitipkan salam dengan lafaz Assalamualaikum kepada sidang perwakilan semua,’’ katanya.
Beliau berkata, UMNO merafak sembah menjunjung kasih Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong agar ihsan terhadap bekas Perdana Menteri itu bagi beroleh apa sahaja pertimbangan dan keringanan untuk membolehkan beliau dapat kembali semula ke pangkuan keluarga dan parti itu.
‘’Justeru, inilah hakikat perjuangan, kesabaran adalah sebahagian daripada kekuatan. Percayalah saudara saudari, saya dan kepimpinan tidak pekak terhadap suara akar umbi.
‘’Segala keluh kesah, keresahan dan desakan termasuk cadangan untuk keluar daripada Kerajaan – didengari, dinilai dan diperhalusi oleh peringkat kepimpinan tertinggi. Tetapi keputusan yang kita pilih bukan keputusan yang mudah, sebaliknya keputusan yang berpaksikan pertimbangan negara dan maslahah ummah,’’ katanya.
Ahmad Zahid menegaskan, UMNO setia kepada perjanjian. UMNO menghormati semangat kerjasama. UMNO berpegang teguh kepada keputusan kolektif yang dimeterai bersama.
‘’ Namun, kesabaran UMNO ada batasnya. Kerana dalam menjalin kerjasama sejak Persekutuan Tanah Melayu hinggalah ke hari ini, hubungan yang dibina bukan dengan sandiwara. Kerjasama politik yang dijalin bukan dengan muslihat dan tipu daya.
Sebaliknya, UMNO sentiasa berpegang dengan prinsip kesetiaan mesti dibalas dengan penghormatan. Permuafakatan pula mesti diiringi dengan keikhlasan dan kejujuran. UMNO tidak menagih layanan istimewa.
‘’ Namun UMNO bukan parti tempelan atau pelengkap kepada mana-mana gabungan. Jangan ingat UMNO parti kari pullay, parti daun kari.. bila nak masak dicampak dalam kuali, bila dihidang, dikuis ke tepi. Barang harus diingat, UMNO adalah tiang seri kestabilan negara,’’ katanya.


