SEBANYAK 32 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Melayu menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri Selangor bagi membantah pelaksanaan projek penternakan babi secara berpusat di Bukit Tagar, Hulu Selangor.
Wakil kumpulan NGO yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, memorandum itu menuntut kerajaan negeri membatalkan projek tersebut dan tidak meluluskan sebarang ladang babi baharu di negeri berkenaan.

Tegas beliau, bantahan dibuat berdasarkan pengalaman lalu yang membuktikan projek seumpama itu sering menimbulkan masalah kesihatan, pencemaran alam sekitar dan menjejaskan kehidupan penduduk setempat akibat kelemahan penguatkuasaan dan ketirisan.
Menurutnya, apa yang berlaku di Tanjung Sepat, Selangor dan sebelum ini di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan menjadi bukti jelas.
“Sekiranya ia dipantau setiap masa dan berskala, kerosakan alam sekitar dan masalah kesihatan tidak akan berlaku. Namun realitinya, banyak pihak menutup mata.
“Jika kawasan baharu dibuka, perkara yang sama akan berulang,” katanya kepada media selepas penyerahan memorandum di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam hari ini, lapor Sinar Harian.
Yang turut hadir, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd Zai Mustapa; Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Masridzi Sat dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Selangor, Hamid Hasbullah.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri Selangor memutuskan untuk melaksanakan aktiviti penternakan itu di Bukit Tagar sebagai langkah strategik jangka panjang penstrukturan semula industri itu bermula 2030.
Syed Hassan turut mempersoalkan pemilihan Bukit Tagar sebagai lokasi projek berkenaan sedangkan kawasan itu didiami oleh majoriti penduduk Melayu.
“Kami tidak akan berkompromi sama sekali jika kawasan penduduk Melayu Islam terus dijadikan sasaran projek ladang babi.
“Jika projek sebegini mahu dilaksanakan, biarlah di kawasan majoriti penduduk yang terlibat secara langsung dengan industri tersebut,” ujarnya.


