Politik orang Melayu: Mencabut duri dalam daging

ADA kalanya terasa rimas dan malas mengikuti atau ambil peduli konflik politik semasa. Ada kalanya pula, sanggup bercekang mata hingga dinihari, mengikuti, meneliti atau cuba memahami percaturan politik dalam kalangan orang Melayu.

Saya melihat ada banyak gelanggang politik libatkan orang Melayu. Gelanggang paling utama ialah gelanggang dalaman sesebuah parti. Ada banyak parti orang Melayu, maka ada banyaklah gelanggang politik yang boleh ditonton.

Saya pilih lima yang utama ini; UMNO, Pas, PKR, Bersatu dan Amanah. Pengasas Pas asalnya orang UMNO. Pengasas PKR juga asalnya orang UMNO.

Saya anggap PKR parti orang Melayu sekalipun ia parti pelbagai kaum, seperti DAP dan PGRM. Begitu juga dengan Bersatu, pengasasnya juga asalnya dari UMNO. Pengasas Amanah pula asalnya orang Pas. Pusing ikut mana sekalipun, kebanyakan parti utama orang Melayu asalnya dari UMNO.

Ada dua lagi parti yang juga pengasasnya dari UMNO, tapi kedua-duanya sudah lama dibubarkan, iaitu Parti Negara dan Semangat 46. Tidaklah diketahui bila akan berulangnya sejarah pembubaran beberapa parti politik Melayu, terutama yang disenaraikan, untuk mengurangkan orang Melayu berpolitik.

Hendaknya begitulah jadinya. Melayu tak sampai pun 20 juta orang, tapi terlalu banyak parti politik. Adakah ini bermakna orang Melayu terlalu kuat berpolitik? Tapi hasilnya apa? Adakah ia menjadikan orang Melayu lebih produktif? Lebih berdaya-saing? Lebih akrab persahabatannya sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah?

Gelanggang kedua ialah lanskap politik di antara parti komponen yang membentuk perikatan, penyatuan atau kerjasama, secara berpenggal atau secara kekal.

Gelanggang ini amat dinamik, terutama pasca PRU 14. Gabungan yang paling utama dan dianggotai banyak institusi politik, termasuk pelbagai kaum dan wilayah, iaitu Barisan Nasional, tiba-tiba runtuh, pasca PRU-14.

Beberapa parti komponen keluar meninggalkan UMNO, yang kekal setia bersama hanyalah MCA dan MIC, serta beberapa parti kecil yang tidak dikenali. Di sebelah lawannya, yang dahulunya dikenali sebagai Pakatan Rakyat, mengguna-pakai jenama baru sebagai Pakatan Harapan, dengan kemasukan Bersatu menyertainya dan menubuhkan Kerajaan Pakatan Harapan (Kerajaan PH 1.0).

Jika nak diperincikan warna-warna politik setiap gelanggang ini, berkajang-kajang kertas diperlukan bagi mencoretkan setiap warna politik itu. Semuanya diterajui atau didepani oleh pemimpin Melayu.

Apa pun, pasca PRU 15 menyaksikan pakatan atau perikatan dikalangan parti-parti politik Melayu semakin rumit atau kompleks. Percaturan politik tertumpu kepada pendirian dalam kalangan parti-parti politik Melayu, dengan tiga yang utama ini sebagai penentunya; UMNO, Bersatu dan Pas.

Dek dendam peribadi di tahap melampau, maka ketiga-tiga parti utama orang Melayu ini tergamak mengenepikan keperibadian mereka sebagai ASWJ dan tegar mendakap sifat mazmumah yang satu ini, itu dendam.

Dek sifat dendam inilah maka tergamak mereka menafikan permintaan institusi pemerintah untuk mereka menubuhkan Kerajaan Perpaduan, yang dikuasai hampir sepenuhnya oleh pemimpin Melayu.

Banyak sebab musababnya sehingga terbentuknya Kerajaan MADANI yang meletakkan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, terutama DAP dan UMNO, berada dalam satu selimut politik yang sama.

Saya bersangka baik terhadap UMNO dengan andaian pakatan itu direstui demi menyelamatkan keadaan. UMNO terpaksa telan ludahnya dan berdepan tusukan pelbagai duri dan onak.

Hingga kini, Kerajaan Madani masih mampu bertahan, lebih lama berbanding Kerajaan PH 1.0.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam pertemuan di kediaman Muhyiddin, di Bukit Damansara Kuala Lumpur semalam. Turut hadir Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tun Man, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Di blok pembangkang pula, dengan dua tonggak Perikatan Nasional (PN), Bersatu dan Pas semakin rancak menusukkan duri ke daging sesama sendiri dan sesama sekutu dalam PN, kehangatan politik orang Melayu bukan sekadar memerhati gelagat UMNO yang semakin rimas duduk semeja dengan seteru dalam selimutnya.

Lebih merimaskan orang Melayu ialah gelagat berpolitik sesama orang Melayu dalam PN. Andaikata rakyat menolak Kerajaan Madani, atau andaikata UMNO akur dengan desakan untuk keluar dari Kerajaan Madani, bersediakah PN membentuk kerajaan alternatif, yang lebih kredibel?

Rimasnya kami orang Melayu, mengikuti pelbagai cerita pergeseran dalam gelanggang Bersatu yang tak reda-reda sejak PAT pada pertengahan tahun lepas. Kini, berlaku pula pergeseran diantaranya dengan sekutu rapatnya yang menerajui PN, iaitu Pas.

Pergeseran diantara kedua-duanya semakin terbuka. Terserlah juga dari pergeseran itu desas-desus yang dalam Pas juga tidak terkecuali dari cucukan duri dalam daging sesama sendiri. Aduhai Melayu.

Pun begitu, orang Melayu yang sekepala dengan saya melihat ada cahaya baru yang terpancar sejak kebelakangan ini. Selepas riuh Pemuda UMNO mengadakan konvensyennya awal bulan ini, UMNO, yang memang sudah merancang lebih awal, mengadakan PAU 2025 nya pada 14-17 Januari 2026. Khabarnya ada naratif baru yang tercipta, berbeza dengan lain-lain parti orang Melayu.

Pertama, para pemimpin UMNO khabarnya ‘mencari kawan-kawan lamanya yang hilang, menyepi atau yang disepikan’. Maka terpaparlah di muka depan beberapa media arus perdana, kelibat beberapa wajah ‘kawan-kawan yang dicari’.

Saya ibaratkan inisiatif ini bak mencabut duri dan onak yang sekian lama menusuk tubuh badan UMNO. Dengar kata juga, ketiga-tiga sayap UMNO membawa suara yang lebih jelas akan pendirian masing-masing. Fokas mereka lebih kepada memahami kehendak pengundi. Apa yang pengundi jangkakan atau harapkan dari UMNO. Ini sesuatu yang jarang sekali PAU berikan keutamaan.

UMNO amat maklum yang keahliannya semakin merosot, maka untuk UMNO berjuang solo dalam PRU-16, ia perlukan perakuan, penerimaan dan sokongan pengundi.

Di sinilah juga terletaknya tugas berat dan mencabar dalam kalangan menteri-menteri UMNO dalam kerajaan, menyulam kebijaksanaannya sebagai pemimpin politik UMNO, dengan pada masa yang sama meneruskan kecemerlangan menerajui kementerian masing-masing.

Naratif ini ibarat, UMNO kembali ke asal perjuangan datuk-neneknya dulu, mengutip suara orang Melayu di segenap pelusuk Tanahair. Naratif ini sekaligus memadamkan trauma orang Melayu yang suatu ketika melihat UMNO terjerumus menjadi parti untuk golongan elitis. Alhamdulillah.

Pastinya pemimpin dan ahli UMNO amat arif akan hal ini. Di zaman datuk-nenek kita dulu, mereka sertai UMNO untuk sama-sama berjuang melawan penjajah, menuntut kemerdekaan dan menuntut penggubalan Perlembagaan Persekutuan. Itu cerita di zaman datuk nenek kita dulu.

Ramai lagi yang masih menjadi sebahagian dari teras perjuangan

itu. Saya berada betul-betul di atas pagar zaman itu. Dalam kalangan pengundi muda sekarang, UMNO tidak boleh mengharapkan mereka ini akan sertai perjuangan UMNO sama seperti dulu. Perjuangan UMNO sekarang ialah untuk mendapatkan mandat dari rakyat untuknya menerajui kerajaan.

Jika itu yang UMNO kehendaki, rakyat sebagai pengundi hendak tahu, apa yang UMNO mampu bantu, mengupayakan kebolehan mereka, untuk hidup sejahtera dalam negara yang makmur dan pesat membangun ini?

Saya pasti, kebijaksanaan perwakilan yang hadiri PAU 2025 ini tentunya ada perkiraan masing-masing bagaimana memperkasakan naratif baru ini, yang sudah pun dicuit oleh ketua ketiga-tiga sayap UMNO itu.

Pada sama yang sama, cerita di sebelah sana, dalam kesibukan bergeser sesama sendiri, mereka juga berbicara bagaimana hendak membina kembali muafakat nasional yang pernah dilaksanakan dahulu.

Kali ini, dengan jenama lain dan dengan diterajui figura yang dilihat lebih berpengaruh. Sejak beberapa bulan lepas telah disemai benih-benih untuk mencambahkan satu bentuk pemuafakatan baru berjenama Payung Besar Melayu. UMNO juga secara lisan dan secara tidak langsung dipelawa sertai Payung ini.

Pada hemat saya, UMNO tidak akan menolak pelawaan ini. Akan tetapi tidak juga bermakna UMNO amat teruja untuk sertainya. Ada banyak pertimbangan yang UMNO kena fikirkan.

Turut menjadi dilemanya ialah pada masa yang sama, bagaimana ia akan terus berperanan dalam Kerajaan Perpaduan sehingga PRU16 nanti. Dan, bagaimana UMNO hendak berikan keutamaan kepada usahanya ‘mencari kawan-kawan lama’  bagi memperkukuhkan gerakan di akar umbinya, berjinak-jinak dengan pengundi yang majoritinya berminda terbuka.

Apapun, buat masa kini, pemimpin UMNO akan terus berpantun: buai laju-laju sampai pucuk sena, Melayu boleh bersatu, bila nawaitunya sama.

*Penulis adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img