HARI terakhir Perhimpunan Agung UMNO yang menyaksikan wakil-wakil negeri memberikan pandangan mereka dalam sesi perbahasan Ucapan dasar Presiden.
Pelbagai isu dibangkitkan, pelbagai pandangan diberikan dan pelbagai kritikan diberikan.
Berikut rangkuman pandangan mereka :
*Si Kitol dalam UMNO
‘’Ada di kalangan kita walaupun berada dalam bahtera bersama dengan kita, tetapi sedang mendengar mandat dari nahkoda kapal sebelah kita, ini yang mendukacitakan kita. Mana mungkin belayar bersama dalam bahtera ini, kita boleh mendengar cakap nahkoda kapal yang lain, jangan ada si kitol di dalam parti kita ini. Saya ulang jangan ada si kitol dalam parti kita ini.’’ – Wakil Pemuda UMNO, Helmi Alias.
*Akmal, bersilatlah dalam gelanggang
“Kalau Pemuda tidak ada seberani Akmal ni, siapa lagi kita harapkan. Pemuda sifatnya begitu. Kepada Akmal satu saja saya nak pesan, kalau berjuang bersilat, jangan bersilat luar gelanggang. Pantang Melayu bersilat luar gelanggang. Bersilat dalam gelanggang, biar mati dalam gelanggang, itulah sikap Melayu yang sebenar.’’ – Wakil UMNO Perak, Azhar Ahmad
Ancaman dalam dan luar terhadap UMNO
“Dalam pada Johor mencipta kejayaan demi kejayaan, memang ada pihak yang rasa terancam baik di dalam..baik di luar..ada yang tidak senang melihat kesenangan orang lain. Ada yang tidak selesa melihat orang lain selesa, ada yang gemar menangguk di air yang keruh, mengaut keuntungan politik daripada setiap kesusahan dan kerugian orang lain.’’ – Wakil Johor Datuk Abdul Halim Suleiman.
Tidak boleh ragu dalam perjuangan
”Persoalannya, adakah kita sendiri yakin dengan apa yang kita perjuangkan? Kita tidak boleh ragu terhadap apa yang kita lakukan. Jangan sampai doa kita sendiri mencerminkan ketidakyakinan terhadap usaha yang dilaksanakan.
”Rakyat melihat kita melalui pelbagai medium. Maka menjadi tanggungjawab kita untuk menjelaskan apa yang telah dilaksanakan kerajaan untuk rakyat, dari sejak lahir sehingga ke akhir hayat.’’ – Wakil Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad
‘Rumah Bangsa’ mampu gamit semua kaum
“Gagasan ‘Rumah Besar Bangsa’ ini, membawa simbol yang jelas bahawa pemimpin parti pada hari ini tidak pernah putus asa untuk membina semula kekuatan parti dengan pendekatan yang lebih matang, inklusif dan berpandangan jauh.
“Dengan kesedaran ini, ‘Rumah Besar Bangsa’, akan menggamit sokongan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum untuk UMNO kembali dominan dalam Kerajaan Persekutuan.’’- Wakil Pulau Pinang Datuk Mohd Noor Ahmad.


