BEKAS wartawan portal FMT, Rex Tan yang ditahan polis tengah malam tadi telah dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 1.15 petang ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar mengesahkan perkara itu ketika dihubungi, lapor Bernama.
“Suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil dan telefon bimbitnya dirampas bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, Kumar dalam kenyataannya memaklumkan polis menahan seorang wartawan bagi membantu siasatan berhubung penularan rakaman video yang membangkitkan isu perkauman dalam satu wacana mengenai Palestin.
Menurut Kumar, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kontroversi itu tercetus daripada ceramah awam berkaitan Palestin yang menampilkan ahli politik British, George Galloway, apabila soalan yang diajukan oleh wartawan portal itu dalam sesi tersebut menerima kritikan meluas dalam media sosial.
Difahamkan wartawan berkenaan telah meletakkan jawatan.


