PELAKON Nadia Kesuma atau nama sebenar Nadiah Kasumawati Abdul Karim disahkan meninggal dunia di Jeddah, Arab Saudi pada 15 Januari lalu.
Suami Nadia, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah menzahirkan rasa dukacita menerusi perkongsian khabar di Facebook dengan memaklumkan pemergian isteri tercintanya.
Berita sedih itu turut dikongsi anak Nadia menerusi akaun Threads apabila memaklumkan ibunya kembali ke Rahmatullah, selain merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang tidak putus-putus mendoakan.
Jenazah dimaklum akan dikebumikan di Jeddah.
Anaknya turut memaklumkan Nadia meninggal dunia akibat sakit jantung dan telah dibawa ke hospital pada hari yang sama selepas tiba di lapangan terbang Jeddah.
Nadia Kesuma, 50, yang membintangi filem Syaitan Munafik dan Kudeta dilaporkan hilang tanpa dapat dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Rabu lalu.
Nadia antara 21 peserta yang menyertai kumpulan umrah dan ziarah bersama sebuah agensi pelancongan bermula dari 14 hingga 28 Januari ini.


