SEORANG bayi lelaki yang dipercayai baru berusia tiga hingga lima hari ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit, di Kinabatangan, Sabah malam tadi.
Bayi seberat 2.4 kilogram itu ditemukan seorang pekerja ladang yang sedang bekerja, sebelum memaklumkan kejadian itu kepada pihak pengurusan ladang.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintenden D Ravi berkata, polis menerima laporan mengenai penemuan bayi lelaki cukup sifat itu pada jam 7.27 malam.
Katanya, bayi berkenaan yang dijumpai dalam keadaan masih bernyawa dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk menerima rawatan lanjut.
“Bayi itu dalam keadaan stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan kini dalam pemantauan pihak hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Siasatan awal mendapati lokasi kejadian tidak mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada saksi tampil setakat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ravi berkata, tiada tangkapan dibuat dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu agar menghubungi polis di talian 089-56 1890 bagi membantu siasatan.


