“Kalau ada yang tak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia’’- Sultan Ibrahim

SISTEM  pendidikan negara perlu terus diperkasa sebagai asas utama pembinaan bangsa, jati diri serta masa hadapan negara, titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Baginda  bertitah, sekiranya kerajaan berhasrat memperkenalkan sistem pendidikan baharu, pelaksanaannya mestilah selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Ini, titah baginda, termasuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama kerana kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan

. “Jika hendak buat sistem pendidikan yang baharu, ianya mesti dibuat selari dengan dasar pendidikan kebangsaan dan bahasa Melayu mesti menjadi bahasa utama kerana ianya adalah bahasa kebangsaan.

“Oleh itu, sebarang usul untuk mengiktiraf apa juga sistem pendidikan lain, mesti terima bahasa Melayu dan sejarah Malaysia,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Titah Diraja bersempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, hari ini.

Titah baginda, mana-mana pihak yang tidak menerima kedudukan bahasa Melayu seharusnya menghormati realiti dan Perlembagaan negara.

“Kalau ada yang tak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia,” titah Sultan Ibrahim.

Sementara itu, Sultan Ibrahim turut mengalu-alukan usaha Kerajaan Persekutuan ke arah mengukuhkan undang-undang negara.

“Ini termasuk usaha untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun, mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta pengenalan Akta Kebebasan Maklumat dan Institusi Ombudsman,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim bertitah negara turut berhadapan dengan ancaman moden terhadap keselamatan digital, integriti maklumat serta teknologi “deep fake” yang membuka ruang kepada kes penipuan dan menggugat kestabilan sosial.

“Ancaman jenayah berat dan keganasan serta perbuatan yang menyentuh ‘3R’ hendaklah juga ditangani dengan berkesan.

“Oleh yang demikian, undang-undang berhubung keselamatan negara dan ancaman luar negara wajar diwujudkan segera kerana hanya dengan cara ini, keharmonian antara kaum dan kedaulatan negara akan sentiasa terpelihara,” titah Baginda.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img