Hak-hak negeri perlu sentiasa dihormati tetapi berhati-hati supaya tidak menghasut’’ – Sultan Ibrahim

YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah memperingati Parlimen akan asas kepada pembentukan Malaysia menerusi Perjanjian Malaysia 1963 yang telah menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara.

Baginda bertitah, niat asal pembentukan Malaysia berpaksikan perpaduan, saling menghormati serta kerjasama erat antara Negeri-Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Yang Berhormat sekalian hendaklah lebih berhati-hati, supaya tidak menghasut sampai wujud ketegangan antara wilayah. Sebarang perbezaan pandangan, haruslah diselesaikan secara matang dan bukan menerusi kebencian atau syak wasangka.

“Hakikatnya, hak-hak Negeri perlu sentiasa dihormati. Namun begitu, kepentingan Malaysia secara bersama hendaklah sentiasa diutamakan,” titah Sultan Ibrahim pada Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15 Di Dewan Rakyat hari ini (19 Januari).

Yang di-Pertuan Agong turut bertitah kepada Ahli-Ahli Dewan agar melaksanakan tugas dengan penuh amanah, bijaksana dan bertanggungjawab demi kepentingan seluruh rakyat.

“Tahun ini merupakan permulaan Rancangan Malaysia Ke-13. Saya mahu rancangan ini memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, terutama dalam bidang pendidikan, perumahan, kesihatan dan pengangkutan awam.

“Setiap perbahasan, keputusan dan undian yang dibuat di dalam dewan ini, bukan hanya merupakan pendirian politik parti, tetapi bakal menentukan masa depan kita,” titah baginda.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img