MAHKAMAH Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkan kerajaan Malaysia dan tiga yang lain membayar ganti rugi RM5 juta kepada keluarga bekas model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, atas kematiannya pada 2006.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Datuk Hashim Hamzah, sebaliknya mengurangkan jumlah ganti rugi berkenaan kepada RM1.4 juta yang perlu dibayar kepada keluarga mendiang.
Melalui penghakiman yang dibacakan Hakim K Muniandy, panel menyatakan Mahkamah Tinggi terkhilaf dari segi undang-undang apabila memberikan ganti rugi asal berjumlah RM5 juta itu.
Panel yang turut dianggotai Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan tuntutan yang timbul daripada kematian, dikawal selia secara ketat di bawah Seksyen 7 Akta Undang-Undang Sivil (CLA) dan mesti bersifat pampasan, bukan hukuman atau vindikatif.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan kerajaan dan Abdul Razak Baginda terhadap kuantum ganti rugi untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 12 Februari tahun lalu, lapor Berita Harian.
Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan ganti rugi yang perlu dibayar meragkumi ganti rugi teruk berjumlah RM1 juta, tuntutan tanggungan RM384,000, perbelanjaan berkabung RM10,000 dan perbelanjaan pengebumian RM15,000 kepada keluarga mendiang.
Ibu bapa Altantuya, Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa, bersama-sama anaknya, Mungunshagai, menyaman kerajaan, Abdul Razak Baginda dan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas Koperal Sirul Azhar Umar serta Cif Inspektor Azilah Hadri, dengan mendakwa wujudnya satu konspirasi di sebalik pembunuhannya.
Pada 16 Disember 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan saman yang difailkan keluarga itu manakala Azilah dan Sirul Azhar tidak merayu terhadap keputusan berkenaan.
Pada prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan, Nik Mohd Noor Nik Kar bertindak bagi pihak kerajaan, peguam Sangeet Kaur Deo untuk keluarga Altantuya manakala Datuk Dr Gurdial Singh Nijar dan Abraham Au mewakili Abdul Razak Baginda selaku responden.
Terdahulu, Muniandy ketika membacakan keputusan panel, berkata kerajaan tidak boleh dipertanggungjawabkan secara liabiliti vikarius kerana pembunuhan Altantuya tidak dilakukan dalam perjalanan tugas Azilah dan Sirul Azhar, selaku pegawai polis ketika itu.
Beliau berkata, Azilah dan Sirul Azhar tidak menjalankan tugas kepolisan ketika membawa si mati ke lokasi terpencil dan membunuhnya dan perbuatan itu adalah urusan peribadi yang dimulakan oleh Abdul Razak.
“Penggunaan bahan letupan dan senjata api yang dikeluarkan kerajaan tidak dengan sendirinya menjadikan perbuatan jenayah itu termasuk dalam skop pekerjaan.
“Bahan berkenaan adalah alat yang digunakan bagi perusahaan haram yang tidak dibenarkan dan sepenuhnya terpisah daripada tugas mereka sebagai pegawai UTK.
“Tidak terdapat walau sedikit pun bukti yang menunjukkan atau membuktikan mereka bertindak atas arahan kerajaan,” katanya.
Muniandy berkata, mahkamah bawahan tersilap apabila memberikan RM5 juta sebagai ganti rugi vindikatif kerana Seksyen 7 CLA hanya membenarkan pampasan bagi kerugian kewangan yang terbukti dialami oleh tanggungan, termasuk kehilangan sokongan dan perbelanjaan pengebumian.
Hakim itu berkata, panel turut mengesahkan keputusan mahkamah bawahan terhadap Abdul Razak berhubung konspirasi dan pembabitannya dalam kematian Altantuya.
“Abdul Razak berhujah tidak berniat menyebabkan kecederaan fizikal dan pembabitannya terhad kepada usaha mendapatkan bantuan polis bagi menangani isu gangguan.
“Bagaimanapun, mahkamah mendapati hujahan itu tidak berasas selepas meneliti rekod rayuan secara menyeluruh.
“Kehadiran Azilah dan Sirul Azhar di hotel mangsa dan tindakan mereka memintas Altantuya di rumah Abdul Razak adalah sepenuhnya dipermudahkan oleh maklumat yang diberi Abdul Razak sendiri.
“Rangkaian peristiwa ini menunjukkan wujud niat bersama untuk melucutkan kebebasan Altantuya.
“Kelakuan sedemikian tidak selari dengan tindakan pihak yang tidak bersalah dan menunjukkan adanya niat bersama untuk memastikan kehilangan mangsa,” katanya.
Muniandy berkata, mahkamah bersetuju dengan dapatan hakim perbicaraan bahawa Azilah dan Sirul Azhar tidak mempunyai motif bebas untuk membunuh Altantuya dan tindakan mereka adalah akibat langsung daripada permintaan serta bantuan yang diberikan oleh Abdul Razak.
Pada 31 Oktober 2008, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Abdul Razak daripada tuduhan bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar membunuh Altantuya.
Dua anggota UTK itu diperintah membela diri atas tuduhan membunuh Altantuyadi lokasi antara Lot 12843 dan 16735, Mukim Bukit Raja, di Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.
Pada 10 Oktober 2024, Azilah Hadri terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan menggantikannya kepada hukuman penjara selama 40 tahun. Keputusan itu dibuat berdasarkan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.
Azilah dan Sirul Azhar disabitkan bersalah pada 2009 kerana membunuh Altantuya pada 2006 manakala Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati kepada mereka,
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membebaskan mereka pada 2013, tetapi Mahkamah Persekutuan kemudian mengekalkan sabitan dan hukuman mati pada 2015.


