
Oleh Kamal Shukri Abdullah Sani
MAJLIS Perundingan Melayu (MPM) menjunjung kasih akan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang tegas menitahkan bahawa mereka yang tidak mahu menerima bahasa Melayu dan pendidikan yang selari dengan dasar pendidikan negara berteraskan bahasa Melayu, tidak layak tinggal di negara ini dan elok berpindah ke negara lain.
Ini berupa amaran yang paling keras selama ini, wajib difahami dan dihayati oleh semua rakyat termasuk pimpinan politik semua parti sama ada UMNO, Pas, DAP, MCA, MIC, Gerakan, Bersatu, Amanah, BERJASA, juga parti di Sabah dan Sarawak serta semua rakyat tanpa mengira bangsa, warna kulit.
MPM akan tetap menyokong sekalipun jika baginda melucutkan taraf warganegara mereka tanpa mengira siapa pun mereka.
Titah baginda juga sistem pendidikan baharu mesti selari dengan dasar pendidikan kebangsaan dan bahasa Melayu mesti dijadikan bahasa utama kerana tarafnya sebagai bahasa kebangsaan.
Sejarah Malaysia juga penting, wajib diterima dan dihormati dan tentunya ini bermaksud naratif sejarah sebenar negara ini tidak diubah sesuka hati mengikut selera kelompok sendiri atau muslihat yang terlihat seolah-olah menolak hakikat sejarah penduduk asal negara ini.
Wajib diingat sejarah negara ini bukan bermula pada tahun 1957 atau 1874 atau 1786. Sejarah negara ini bermula ribuan tahun sebelum itu di nusantara, pelantar Sunda dan Kepulauan Melayu sebelum wujudnya negara Malaysia dan Indonesia.

Selari dengan dasar dan kepentingan Bahasa Melayu dan Sejarah tersebut, semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan bahawa semua pelajar sekolah antarabangsa, agama rakyat, tahfiz dan UEC wajib mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia.
Saranan beliau tepat pada masanya, selari dengan titah Sultan Ibrahim. Walau bagaimanapun kewajipan tersebut tidaklah wajar dijadikan alasan agar UEC misalnya diiktiraf kerana terlalu banyak isu dalam sistem UEC, bukan isu bahasa Melayu dan Sejarah semata-mata.
Persatuan Penulis Nasional (PENA) telahpun menerbitkan sebuah buku yang menjelaskan mengapa UEC tidak wajar diiktiraf yang sepatutnya menjadi rujukan Kementerian Pendidikan sebelum membuat keputusan selain telah membentangkan isunya dalam meja bulat anjuran kementerian dahulu.
Malah silibus sejarah UEC juga tidak berkiblatkan negara ini tetapi lebih kepada negara lain. Tiada badan yang berautoriti dan berwibawa seperti Majlis Peperiksaan atau Lembaga Peperiksaan yang mengawal kurikulum dan peperiksaannya. UEC dikawal selia sendiri oleh badan bukan kerajaan.
Bagaimanapun syabas kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek kerana pernah menegaskan bahawa bahasa Melayu sebagai tunjang pendidikan negara dan kementerian akan terus dengan tekad untuk memberi tumpuan antaranya kepada 6 aspek utama pendidikan prasekolah iaitu: sosioemosi, fizikal dan kesejahteraan diri, bahasa dan literasi, kerohanian, nilai dan kewarganegaraan, kreativiti dan estetika dan kognitif. Semua aspek tersebut diakui amat penting dan wajar ditekankan semasa awal pembelajaran lagi.
Dalam aspek bahasa dan literasi difahamkan bahawa penekanan adalah terhadap kedua-dua bahasa Melayu, sebagai bahasa kebangsaan dan juga bahasa Inggeris.
Memang ada bagusnya penekanan kepada kedua-dua bahasa atau dwibahasa tersebut pada peringkat awal lagi walaupun sebenarnya banyak juga negara di Eropah dan lain-lain yang memulakan pembelajaran bahasa kedua atau Inggeris lebih lewat atau hanya bermula di peringkat menengah tetapi pelajar mereka tetap menguasai bahasa tersebut dengan baik.
Apa pun, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan tunjangnya perlu diberi penekanan yang lebih sebagaimana titah Baginda.
Tetapi malangnya, seribu kali malang, difahamkan “program” Dwibahasa atau lebih terkenal dengan Dual-Language Programme (DLP) kelihatan tetap akan diteruskan. Telah beribu kali kami tegaskan, DLP itu seperti juga PPSMI, telah dan sedang ‘membunuh’ beribu-ribu mata pelajaran berunsur sains dan teknologi dalam bahasa Melayu di sekolah, kolej dan universiti.
Mana mungkin bahasa Melayu menjadi tunjang yang kukuh jika DLP yang bertentangan dengan hasrat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi tetap diteruskan. Segalanya wajib bermula dari peringkat persekolahan lagi.
Memang PPSMI dan DLP dimulakan oleh kerajaan dan Perdana Menteri terdahulu. Maka menjadi tanggungjawab kerajaan dan Menteri Pendidikan sekarang untuk memperbetul yang silap dan bukannya meneruskan kesilapan walaupun sedar dasar atau program itu satu kesilapan.
Sekiranya menteri sekarang tetap meneruskan dasar buruk ini, apalah bezanya dengan menteri yang dahulu sedangkan majoriti rakyat sedar ada pemimpin sekarang merupakan bekas pejuang bahasa satu masa dahulu. Dasar yang baik eloklah diteruskan tetapi dasar yang buruk seperti DLP sepatutnya beranilah dikuburkan.
Kerajaan yang jujur dan mesra rakyat pastinya akan mendengar keluh kesah rakyat dan denyut nadi mereka. Sebelum ini mereka telah membantah PPSMI dengan perarakan 100,000 orang ke Istana Negara pada 7 Mac, 2009 walaupun disembur dengan gas pemedih mata hanya kerana hendak menyampaikan memorandum kepada Istana Negara, payung rakyat jelata.
Kini mereka banyak yang telah lanjut usianya. Tidak sekuat dahulu lagi untuk dimandikan dengan semburan air kimia dan gas. Janganlah kerana ketidakmampuan itu maka hasrat mereka agar DLP dimansuhkan tidak dipedulikan.
Surat memohon pertemuan kepada pejabat Perdana Menteri yang mereka kasihi untuk berbincang juga khabarnya telah hampir setahun tidak berjawab. Entahlah. Mereka tiada sebarang kepentingan wang, harta benda dan projek.
Cuma satu sahaja. Ingin memastikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dimanfaatkan sebagai bahasa sains dan teknologi di negara ini. Bukan sekadar cakap-cakap kosong semasa pilihan raya atau sempena Bulan Bahasa Kebangsaan sahaja.
Mereka tidak mahu berpindah ke mana-mana negara lain kerana menerima bahasa Melayu tanpa berbelah bahagi, tidak seperti mana-mana kelompok lain yang membenci bahasa Melayu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi semasa Perhimpunan Aging UMNO baru-baru ini tegas mengatakan bahawa UMNO akan terus memperjuangkan usaha memastikan bahasa Melayu berkembang sebagai bahasa sains, teknologi dan pemikiran aras tinggi walaupun memerlukan pelaburan yang tinggi.
Langkah ini penting demi kelangsungan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang berdaya saing dalam era global terkini di samping menyahut titah Yang di-Pertuan Agong iaitu apa pun perubahan dasar pendidikan yang dibuat, mesti selaras dengan dasar pendidikan dan bahasa Melayu sebagai bahasa utama demi pembinaan bangsa, jati diri dan masa depan negara ini.
Bagaimana bahasa Melayu dapat terus menjadi bahasa utama jika ribuan subjek sains, teknologi di universiti, kolej dan sekolah tetap menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantarnya?. Itu sudah jadi “bikin tak serupa cakap”. Misalnya kita turut dimaklumkan bahawa syarahan inaugural di beberapa universiti masih banyak dalam bahasa Inggeris.
Di UPM misalnya, kira-kira 90% pensyarah Melayu menggunakan bahasa Inggeris, manakala di USM 80% menggunakan bahasa Inggeris. Sementara itu di 20 buah universiti awam lain juga, bahasa Melayu terus hanyut, tidak digunakan dalam syarahan tersebut.
Hanya di UKM masih kekal terkawal setakat ini, 100% menggunakan bahasa Melayu. Sikap seperti itu samalah seperti yang dimaksudkan oleh baginda iaitu penyakit “menolak” bahasa Melayu, sebagai bahasa penyebar ilmu.
Bukan orang awam atau rakyat jelata sahaja yang “enggan” menerima bahasa Melayu, enggan bertutur dalam bahasa Melayu, tetapi mereka yang digelar cendekiawan, profesor pun sanggup mengkhianati bahasa Melayu sebagai bahasa sains teknologi. Eloklah juga mereka pun berpindah segera ke negara lain seperti titah baginda, ke Eropah, Amerika dan lain-lain.
Jika kita benar-benar inginkan negara yang bersatu padu maka pelaksanaan Sistem Pendidikan Satu Aliran adalah jawapan terbaik yang tidak boleh sewenangnya dinafikan. Ini seperti yang dilaksanakan di banyak negara lain: Singapura, Indonesia, Thailand, Jepun, Korea, China, Rusia, Jerman, Sepanyol, Australia, Eropah dan lain-lain.
Janganlah pula kita gunakan bahasa negara lain atau seperti Singapura, bahasa Inggeris. Budaya, sejarah dan keperluan kita tidak sama. Kita juga pernah maju dan boleh terus maju dengan acuan sendiri, bahasa sendiri.
Inilah peluang terakhir untuk mengelakkan kesan polarisasi kaum selama 70 tahun yang telah dan sedang berlaku yang secara tidak langsung membuktikan kegagalan dasar perpaduan melalui kepelbagaian bahasa.
Semoga semangat saling memahami yang lebih baik daripada semangat tolak ansur dapat mengelakkan segala sikap negatif, kiasu, apartheid, rasis dan cauvinis yang boleh sahaja menggugat secebis keharmonian yang sudah dicicipi selama ini.
Daulat Tuanku!
Penulis adalah Pengerusi Biro Insan Rabbani dan Komuniti Madani, Majlis Perundingan Melayu (MPM).
*Hantar komen atau artikel anda kepada editor@utusanmelayuplus.com


