SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memperoleh izin daripada Peguam Negara untuk mendakwa tiga individu melibatkan dua pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta seorang orang awam, susulan siasatan yang telah dijalankan oleh Ssuruhanjaya ini.
Dalam kenyataan hari ini SPRM memberitahu, dua pegawai tertinggi ATM itu ialah bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Hafizuddiean Jantan dan bekas Panglima ATM, Tan Sri Mohd Nizam Jaafar.
Hafizuddiean serta isterinya, Salwani Anuar, yang masing-masing akan didakwa dengan empat pertuduhan setiap seorang di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur esok.
Hafizuddiean akan turut didakwa dengan dua lagi pertuduhan di bawah seksyen serta akta yang sama di Mahkamah Khas Rasuah Shah Alam, Selangor pada Jumaat.
Manakala, Salwani juga akan didakwa dengan satu lagi pertuduhan di bawah seksyen serta akta yang sama di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu pada Isnin.
Selain itu, SPRM juga telah memperoleh izin mendakwa terhadap Mohd Nizam di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur pada Jumaat.

Mohd Nizam Jaafar akan didakwa dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 susulan siasatan salah guna kuasa dan siasatan melibatkan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), satu pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 409 serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
SPRM juga memaklumkan bahawa siasatan terhadap dua lagi pegawai kanan ATM kini berada di peringkat akhir dan kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.
SPRM menegaskan komitmen berterusan Suruhanjaya ini dalam memastikan setiap kesalahan rasuah dan salah guna kuasa ditangani secara tegas, telus dan tanpa sebarang kompromi, selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang.


