RATUSAN peminat bola sepak berkumpul di Sunway Pyramid di Subang Jaya hari ini untuk menyaksikan secara dekat trofi berprestij Piala Dunia FIFA, yang dinanti-nantikan selepas kali terakhir dibawa ke Malaysia 12 tahun lalu.
Trofi itu diperkenalkan oleh pemenang Piala Dunia 2002 yang juga bekas pemain antarabangsa Brazil, Gilberto Silva bersama-sama legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh dan penyanyi rap tempatan, Muhammad Hairi Amin Hamdan atau lebih dikenali sebagai MK yang menambah kemeriahan acara tersebut.

Trofi yang dikawal ketat oleh pasukan keselamatan termasuk wakil FIFA tiba di Malaysia awal hari ini sebagai sebahagian daripada jelajah global yang meliputi 75 persinggahan, dengan majlis rasmi diadakan di Pusat Penerbangan Serantau Skypark, Shah Alam, Selangor.
Ketibaan trofi itu turut diserikan dengan persembahan tarian tradisional tempatan dan disambut oleh Presiden Unit Operasi ASEAN dan Pasifik Selatan The Coca-Cola Company, Selman Careaga serta Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Dr Nagulendran Kangayatkarasu.
Kali terakhir simbol kejuaraan tertinggi dunia itu berada di Malaysia adalah pada 2014 sempena Piala Dunia FIFA di Brazil pada tahun tersebut.
Silva dalam sidang akhbar berharap lawatan Trofi Piala Dunia FIFA ke Malaysia akan memberi inspirasi kepada pemain bola sepak tempatan muda dan pasukan Harimau Malaya untuk beraksi dalam Piala Dunia suatu hari nanti.
“Saya berharap persinggahan di Malaysia dapat memberi inspirasi kepada ramai golongan muda sama ada lelaki atau perempuan untuk bermain bola sepak dan semoga satu hari nanti kita dapat melihat Malaysia beraksi dalam Piala Dunia,” kata bekas pemain tengah Arsenal itu.
Trofi itu dijangka meneruskan jelajah ke Korea Selatan dan Jepun.
Piala Dunia FIFA 2026 yang buat kali pertama akan menampilkan 48 pasukan dijadualkan berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada dari 11 Jun hingga 19 Julai depan.


