Imigresen lumpukan saki-baki sindiket Iqbal

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu sebuah unit pangsapuri servis yang dijadikan rumah selamat atau safe house untuk aktiviti penyeludupan migran dan menahan tujuh lelaki warga Bangladesh di Taman Maluri, Cheras kelmarin.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam serbuan tersebut, JIM menahan lima lelaki berusia 27 hingga 44 tahun disyaki sebagai migran yang diseludup.

ANTARA migran warga Bangladesh yang ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen di Taman Maluri, Cheras kelmarin. GAMBAR: JIM

“JIM turut menahan dua lelaki berusia 56 tahun dan 28 tahun, masing-masing dipercayai berperanan sebagai pengatur penjaga safe house serta penghantar (transporter) bagi rangkaian sindiket,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zakaria, pemeriksaan lanjut mendapati pasport milik migran berkenaan tidak mempunyai sebarang cap pengesahan masuk yang sah ke Malaysia.

Katanya, sebuah kereta Perodua Myvi yang dipercayai digunakan untuk tujuan pengangkutan migran itu turut disita.

Zakaria memberitahu, operasi itu dilakukan dengan menggunakan pendekatan pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan golongan rentan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

“Operasi ini dijalankan hasil maklumat risikan berkaitan kegiatan penyeludupan migran melibatkan warga Bangladesh yang memasuki negara ini secara haram melalui laluan tidak sah (jalan tikus) di Kelantan.

“Hasil risikan mendapati migran diseludup mempunyai kaitan dengan Sindiket Iqbal yang berjaya ditumpaskan oleh JIM baru-baru ini di Kelantan,” katanya.

Menurutnya, modus operandi sindiket itu adalah melakukan aktiviti penyeludupan migran melalui laluan darat.

“Premis di Taman Maluri dikenal pasti dijadikan sebagai safe house bagi migran yang baru tiba dari Pantai Timur.

“Migran berkenaan dipercayai dibawa masuk melalui laluan darat yang tidak sah di sekitar sempadan Malaysia – Thailand sebelum dihantar ke destinasi seterusnya,” katanya.

Zakaria berkata, kesemua tahanan telah dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670] serta Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155].

Menurut beliau, JIM sentiasa komited dalam usaha membanteras segala bentuk penyeludupan migran dan pemerdagangan orang.

“Tindakan undang-undang tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu, sindiket, majikan atau pemilik premis yang menggaji, melindungi atau bersekongkol dengan pendatang asing tanpa izin (PATI), serta warga asing yang memasuki atau tinggal di negara ini tanpa kebenaran sah,” tegas beliau.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img