20 pegawai imigresen terlibat sindiket pasport terbang dibuang kerja dalam tempoh 2022-2025

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) telah mengambil tindakan buang kerja terhadap 20 pegawainya yang didapati terlibat dalam kegiatan pasport terbang sepanjang tahun 2022 hingga 2025.

Dalam tempoh yang sama, seramai 41 pegawai telah dikenakan tindakan tata tertib kerana didapati terlibat dalam kes berkaitan pasport terbang.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, 20 pegawai itu dikenakan hukuman buang kerja selepas disabitkan dengan kesalahan.

“Tindakan ini diambil hasil siasatan dalaman yang telus dan berlandaskan peraturan ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, JIM mengambil maklum kenyataan media yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) pada Isnin lalu berhubung laporan siasatan berkaitan dakwaan aktiviti pasport terbang di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“JIM menghormati peranan dan fungsi EAIC sebagai badan pemantau integriti agensi penguatkuasaan, serta memandang serius setiap dapatan dan syor yang dikemukakan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, JIM telah dan sedang mengambil tindakan susulan selaras dengan peruntukan undang-undang, peraturan perkhidmatan awam dan mekanisme tata tertib yang berkuat kuasa.

“Berhubung kes yang dilaporkan, JIM mengesahkan bahawa tindakan tata tertib telah dilaksanakan terhadap pegawai terlibat selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tata tertib) 1993.

“Langkah ini mencerminkan pendirian tegas JIM bahawa sebarang salah laku, khususnya yang melibatkan integriti dan kepercayaan awam, tidak akan dikompromi,” katanya.

Zakaria berkata, selain itu, JIM menegaskan bahawa setiap kes yang dirujuk oleh EAIC akan diteliti secara menyeluruh dan ditangani dengan serius tanpa sebarang kompromi.

“Bagi tahun lalu, sebanyak 61 kes telah dirujuk oleh EAIC dan kesemua kes terlibat dibawa ke Mesyuarat Jawatakuasa Aduan dan diambil tindakan selaras dengan proses serta peruntukan tata tertib yang berkuat kuasa.

“Pendekatan ini mencerminkan komitmen berterusan JIM terhadap prinsip akauntabiliti, integriti dan tadbir urus yang baik,” katanya.

Beliau berkata, JIM akan terus memperkukuh pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP), meningkatkan pemantauan dalaman serta melaksanakan langkah penambahbaikan secara berterusan.

“Ia bagi memastikan perkhidmatan imigresen dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan selari dengan peraturan yang ditetapkan, demi memelihara kepercayaan rakyat dan kepentingan negara,” ujarnya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img