SEMUA kes pendakwaan melibatkan bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isterinya, Salwani Anuar akan dipindahkan ke Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, keputusan memindahkan semua prosiding ke Kuala Lumpur dibuat bagi menjimatkan masa, kos serta demi kepentingan keadilan.
“Pemindahan ini melibatkan kes yang difailkan di Shah Alam dan Terengganu.Semua kes tersebut akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi memastikan perjalanan kes lebih teratur dan efisien,” katanya pada sidang media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkat, Muhammad Hafizuddeain berdepan empat pertuduhan manakala Salwani berdepan empat pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
“Pertuduhan terhadap Muhammad Hafizuddeain melibatkan dua kes yang akan dibacakan di Shah Alam, manakala isterinya pula akan didakwa di Kuala Terengganu sebelum semua kes dipindahkan ke Kuala Lumpur.
“Semua wang yang terlibat adalah dana haram dan jumlah keseluruhan dianggarkan mencecah hampir RM3 juta,” katanya.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara hingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai kesalahan atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


