SELEPAS bekas Panglima Tentera Darat , Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, dua lagi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bergelar Datuk dijangka didakwa minggu hadapan berkaitan rasuah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata kertas siasatan sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
Katanya, maklum balas berkenaan akan diperoleh daripada Jabatan Peguam Negara.
“Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan didakwa esok manakala dua lagi pegawai kanan bergelar Datuk dijangka didakwa minggu hadapan.
“Kertas siasatan sudah diberikan kepada TPR (Timbalan Pendakwa Raya). Tanggungjawab di pihak SPRM sudah dilaksanakan.
“Jadi kita minta Peguam Negara percepatkan pertuduhan ini kerana kes ini jadi tumpuan dan membabitkan dana yang besar serta duit rakyat,” katanya dalam sidang media Program Cakna Rakyat: SPRM Bersama Media di Kota Bharu, Kelantan hari ini.
SPRM semalam dalam kenyataan mengesahkan dua lagi pegawai kanan ATM kini berada di peringkat akhir untuk tindakan selanjutnya.
Menurut kenyataan itu, SPRM mengesahkan bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaafar akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur, esok (Jumaat) manakala Muhammad Hafizuddeain dan isteri, Salwani Anuar dituduh hari ini.
Hafizuddeain dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas empat tuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram yang keseluruhannya berjumlah RM2.12 juta.
Beliau mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap semua tuduhan berkenaan yang didakwa dilakukan di antara 2 Februari 2024 dan 7 November tahun lalu, di hadapan Hakim Azura Alwi.
Isteri ketiga bekas Panglima Tentera Darat itu, Salwani Anuar @ Kamaruddin, 27, pula mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000 pada tahun 2024 dan tahun lalu di hadapan Hakim Rosli Ahmad.


