BEKAS Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan tiba di Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi ini untuk didakwa sekali lagi berkaitan kes pengubahan wang haram.
Muhammad Hafizuddeain tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam pada jam 8.34 pagi untuk menghadapi prosiding pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin jam 9 pagi.
Semalam, Muhammad Hafizuddeain, 58, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram lebih RM2.12 juta.
Muhammad Hafizuddeain bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas keempat-empat pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Isteri ketiga Muhammad Hafizuddeain, Salwani Anuar @ Kamaruddin, 27, juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000 pada tahun 2024 dan tahun lalu.
Salwani membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rosli Ahmad. Dia dijangka akan didakwa dengan satu lagi pertuduhan di bawah seksyen serta akta sama di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu pada Isnin depan.
Kelmarin, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan memaklumkan Muhammad Hafizuddeain dan isterinya Salwani, masing-masing akan didakwa dengan empat pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur.
Menurut SPRM, bekas pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu turut akan didakwa dengan dua lagi pertuduhan di bawah seksyen dan akta sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.


