SEORANG lelaki maut manakala rakannya patah tangan selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki terbabas dan terjunam ke dalam lubang pembentungan sedalam tujuh meter berhampiran Palm City di Jalan Pantai, Lahad Datu, Sabah pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, Muhammad Almadi Hassan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan itu, Wilyamil Ahajul, 34, patah tangan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.08 pagi.
Beliau berkata, seramai 14 anggota bergegas ke lokasi kejadian yang terletak sejauh dua kilometer dari BBP Lahad Datu.
Menurutnya, Komander Operasi melaporkan kemalangan melibatkan kenderaan jenis Toyota Vigo terbabas sendiri dan melanggar penghadang lalu terjatuh ke dalam lubang pembentungan yang dalam proses pembinaan.
“Terdapat dua mangsa dan operasi mengeluarkan mangsa yang berada di dalam lubang pembentung pada kedalaman tujuh meter segera dilakukan dengan menggunakan tali dan alat pengusung.
“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di tempat kejadian, manakala seorang lagi dilaporkan mengalami patah tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya lagi, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Mangsa yang cedera pula dibawa ke hospital menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.


