SURUHANJYA Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan terhadap seorang bergelar Tan Sri yang disyaki menyeleweng dana pelaburan berjumlah hampir RM300 juta.
Sumber memaklumkan SPRM telah menahan dua individu serta melakukan penggeledahan di lima premis sekitar Lembah Klang pada 21 dan 22 Januari 2026.
‘’Selain itu siasatan awal mendapati antara tahun 2021 hingga 2024, sejumlah hampir RM300 juta telah berjaya dikutip daripada kira-kira 1,700 pelabur bagi tujuan pelaburan ke atas dua buah syarikat.
‘’Namun, semakan menunjukkan dana yang dikutip telah diseleweng dan dibelanjakan untuk tujuan selain daripada yang dipersetujui dalam perjanjian dengan para pelabur,’’ kata sumber tersebut.
Sumber juga memaklumkan siasatan turut mendapati Tan Sri berkenaan menggunakan kedudukan serta pengaruh beliau untuk menarik minat dan meyakinkan pelabur agar melabur.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan bahawa siasatan kini menumpukan kepada jejak aliran dana yang diseleweng bagi tujuan pemulihan (recovery).
Siasatan ini turut melibatkan kepakaran Bahagian Analisa Kewangan SPRM dan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM.
Setakat ini, sebanyak 14 akaun individu dan syarikat telah dibekukan. SPRM masih menunggu maklum balas pihak bank berhubung baki akaun-akaun berkenaan dan menjangkakan lebih banyak akaun akan dibekukan selepas proses menjejak aliran wang selesai dilaksanakan.
SPRM komited melaksanakan siasatan dengan profesional dan tegas memandangkan kes ini melibatkan jumlah wang yang besar serta kepentingan awam.


