AS lakukan tindakan ‘luar biasa’ hantar pulang lapan rakyat Palestin diusir guna jet peribadi

AMERIKA Syarikat (AS) melakukan tindakan yang dianggap luar biasa apabila menghantar pulang lapan rakyat Palestin ke Tebing Barat yang dijajah Israel kelmarin, menggunakan sebuah jet peribadi milik seorang ahli perniagaan Israel-Amerika, menurut akhbar Haaretz.

Akhbar itu melaporkan rakyat Palestin berkenaan dihantar pulang susulan “permintaan luar biasa oleh Washington kepada Israel, kononnya kerana tinggal secara haram di Amerika Syarikat.”

Ia turut memetik sumber keselamatan yang menyatakan bahawa permintaan itu “diluluskan oleh perkhidmatan keselamatan Shin Bet” selepas dipastikan mereka “tidak mempunyai latar belakang keselamatan.”

Rakyat Palestin tersebut, yang identiti mereka tidak didedahkan, telah diserahkan oleh pegawai penguat kuasa undang-undang AS kepada unit pengiring tahanan Perkhidmatan Penjara Israel.

Unit ini kemudian membawa mereka dengan kenderaan, diiringi seorang wakil Kementerian Luar Israel, ke sebuah pusat pemeriksaan berhampiran penempatan haram Israel di Tebing Barat, Modi’in Illit. Mereka kemudiannya dilaporkan diserahkan kepada pegawai Pentadbiran Awam dan seterusnya dibebaskan.

Haaretz mengesahkan bahawa jet peribadi itu dimiliki oleh seorang ahli perniagaan Israel-Amerika yang merupakan rakan kongsi dalam pelaburan hartanah bersama Presiden AS, Donald Trump, dan pesawat itu “nampaknya disewa khas” oleh pegawai AS

Kes ini digambarkan sebagai “sangat luar biasa” oleh sumber yang dipetik akhbar itu, memandangkan pengusiran dari AS lazimnya dilakukan melalui penerbangan komersial.

Menyewa jet peribadi dianggarkan menelan kos sekitar AS$15,000 (RM RM60,082.50) bagi setiap jam penerbangan, berdasarkan kadar pasaran, menurut laporan tersebut. Oleh itu, kos perjalanan pergi dan balik dari AS ke Israel dianggarkan sekitar AS$300,000 (RM1,201,650.00)

Pesawat itu membuat dua persinggahan dalam penerbangannya ke Israel, masing-masing di Ireland dan Bulgaria, menurut laporan tersebut, dengan pengisian bahan api disebut sebagai kemungkinan.

Dalam gambar yang tersebar dalam talian dan diperoleh oleh Haaretz, salah seorang individu yang dihantar pulang dilihat turun dari pesawat dalam keadaan bergari, dengan pihak berkuasa Israel menunggu di darat.

Tahun lalu, Rumah Putih mengumumkan bahawa Trump telah menandatangani satu pengisytiharan presiden yang mengenakan sekatan lanjut terhadap kemasukan warga asing ke AS

Secara khusus, AS menggantung sepenuhnya kemasukan warga asing yang ingin memasuki negara itu “sebagai pendatang dan bukan pendatang,” menggunakan dokumen perjalanan yang dikeluarkan atau disahkan oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Pihak berkuasa AS juga menghalang Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, daripada menghadiri sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada September lalu dengan membatalkan visanya, bersama-sama 80 pegawai Palestin yang lain.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img