Penyebaran dan pendedahan maklumat peribadi adalah kesalahan jenayah – KPN

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menyifatkan perbuatan menyebarkan, mendedahkan atau memaparkan maklumat peribadi seseorang tanpa kebenaran adalah satu kesalahan undang-undang dan tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung penyebaran maklumat peribadi seorang individu di platform dalam talian.

Menurut beliau, maklumat peribadi yang dimaksudkan termasuk alamat kediaman, nombor telefon, nombor pengenalan diri dan maklumat keluarga.

“Perbuatan ini dikenali sebagai doxing, boleh disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khalid berkata, siasatan boleh dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 130 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 serta Seksyen 507E, 507F (1) atau 507F (2) Kanun Keseksaan.

Beliau menegaskan bahawa prinsip perlindungan data peribadi adalah terpakai kepada semua individu tanpa mengira latar belakang, pandangan, atau situasi semasa.

Untuk itu katanya, perkara tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk tindakan balas dendam, ugutan atau gangguan dalam talian.

“Sehubungan itu, PDRM mengingatkan orang ramai agar tidak terbabit dalam sebarang bentuk penyebaran maklumat peribadi serta mengamalkan etika dan tanggungjawab dalam penggunaan platform digital.

“PDRM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang didapati melanggar undang-undang berkaitan, selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan keselamatan awam,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img