ANGKA korban akibat kejadian tanah runtuh di Bandung Barat, Jawa Barat meningkat kepada 16 orang, dengan sembilan mangsa berjaya dikenal pasti setakat ini.
Ketua Perhubungan Awam Polis Jawa Barat, Hendra Rochmawan berkata, sehingga jam 12 tengah hari waktu tempatan hari ini, empat lagi mayat ditemukan, menjadikan jumlah keseluruhan mayat yang dibawa ke pos koordinasi Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) seramai 16 orang.
“Daripada jumlah ditemukan, sembilan telah dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga masing-masing semalam,” katanya seperti dilaporkan Agensi Berita ANTARA hari ini.
Kejadian tanah runtuh berpunca hujan lebat itu melanda Kampung Pasirlangu kira-kira jam 2.30 pagi semalam, sehingga menimbus beberapa kawasan perumahan.
Naib Presiden, Gibran Rakabuming Raka, melawat lokasi kejadian pada pagi ini dengan diiringi Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Suharyanto dan Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), Mohammad Syafii.
Suharyanto dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan data awal, seramai 232 penduduk yang dipindahkan kini berada di pusat perlindungan sementara.
Pihak berkuasa telah menyediakan tiga skim untuk penduduk yang terjejas, termasuk pusat perlindungan sementara, Dana Tunggu Hunian (DTH) dan penempatan semula ke kawasan yang lebih selamat, katanya.
“Komuniti yang tidak terjejas secara langsung tetapi berada di lokasi yang berisiko turut akan diambil tindakan susulan. Walaupun mereka tidak terkesan oleh tanah runtuh kali ini, mereka tetap perlu dipindahkan,” katanya.
Sementara itu, Mohammad Syafii berkata lebih 250 anggota yang dilengkapi peralatan khas telah dikerahkan bagi mempercepatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).


