Penyediaan infrastruktur digital JENDELA Fasa 1 siap 99.1% – MCMC

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperkukuh usaha memperluaskan liputan dan kesalinghubungan negara menerusi pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 dan Fasa 2.

Menurut MCMC, ini termasuk penambahbaikan liputan internet di tujuh kawasan tumpuan (7 Focus Areas) merangkumi institusi pengajian tinggi awam (IPTA), kawasan pelancongan, stadium, kawasan acara, kem tentera, hospital dan lebuh raya.

Suruhanjaya dalam kenyataannya memberitahu, di bawah JENDELA Fasa 1, liputan, kapasiti dan kualiti jalur lebar mudah alih telah dipertingkat melalui pembinaan 1,661 struktur menara komunikasi baharu dengan perkongsian Rangkaian Akses Radio (RAN) menerusi pendekatan Rangkaian Teras Pelbagai Operator (MOCN).

“Bilangan premis yang diliputi rangkaian (premises passed) turut meningkat daripada 4.96 juta premis sebelum pelaksanaan JENDELA kepada 9.81 juta premis setakat akhir Disember 2025, sekali gus melepasi sasaran sembilan juta premis.

“Kelajuan median muat turun jalur lebar mudah alih turut meningkat kepada 143.70 Mbps (berdasarkan laporan Ookla Global Index setakat Disember 2025), melepasi sasaran yang ditetapkan.

“Setakat akhir Disember 2025, liputan internet di kawasan berpenduduk telah meningkat daripada 91.8 peratus sebelum pelaksanaan JENDELA, kepada 99.71 peratus (berdasarkan penilaian MCMC),” kata kenyataan MCMC yang dikeluarkan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pencapaian ini disokong oleh inisiatif pembangunan rangkaian oleh Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO), termasuk pembinaan infrastruktur 4G baharu, penaiktarafan tapak sedia ada serta manfaat perkongsian MOCN.

Katanya, bermula Ogos 2025, setiap MNO telah mengemukakan perancangan penambahbaikan liputan yang dipantau oleh MCMC, disokong oleh Garis Panduan Industri bagi Perkongsian Infrastruktur Rangkaian.

Tambah MCMC, pendekatan pelaksanaan yang bersasar dan berfasa ini membolehkan peluasan liputan internet dilaksanakan secara lebih cekap dan berkesan, termasuk ke kawasan kurang berpenduduk seperti sepanjang jajaran lebuh raya, melalui penggunaan teknologi yang bersesuaian dengan keperluan setempat atau fit-forpurpose.

“MCMC akan terus memantau pelaksanaan ini bagi memastikan peningkatan liputan dan kualiti perkhidmatan internet dilaksanakan secara mampan dan berterusan, selaras dengan objektif JENDELA Fasa 2 untuk memperluas akses internet ke kawasan berpenduduk jarang serta koridor pengangkutan utama,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img