CUACA panas dan kering ketika ini dipercayai menjadi punca kebakaran kawasan hutan seluas kira-kira dua hektar berhampiran Plaza Tol Denai Alam, Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) di Shah Alam hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.58 tengah hari.

Katanya, sepasukan lapan orang anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja dimaklumkan.
“Pasukan petugas ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera serta tangki air dan tiba di lokasi kejadian pada jam 1.22 petang.
“Setibanya di lokasi, kebakaran itu melibatkan hutan dianggar seluas dua hektar dan api berjaya dikawal pada jam 3.40 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.


