Doktor rugi RM285,000 diperdaya sindiket ‘phone scam’

SEORANG lelaki berusia 31 tahun kerugian RM285,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan panggilan telefon atau phone scam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, berdasarkan laporan yang diterima semalam, mangsa merupakan seorang doktor yang bekerja di sebuah hospital di Pahang menerima panggilan telefon daripada beberapa individu pada 31 Disember lalu.

Katanya, individu terbabit menyamar sebagai wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis, lapor Harian Metro.

“Suspek kemudiannya mendakwa mangsa terbabit dalam kes mengubah suai meter elektrik, pengubahan wang haram serta aktiviti penipuan digital.

“Kononnya bagi tujuan siasatan, mangsa diarah untuk terus berhubung dengan suspek serta diminta melaporkan pergerakan harian.

“Mangsa kemudiannya diarah membuat pinjaman kewangan kononnya bagi tujuan siasatan bersama pihak bank,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata, mangsa membuat pinjaman daripada sebuah institusi kewangan sebelum diarah melakukan beberapa transaksi pemindahan wang kepada tujuh akaun bank membabitkan 12 transaksi.

Katanya, selain itu, mangsa diarah membeli 35 keping resit Razer Gold Top Up dan menyerahkan nombor pin kepada suspek.

“Akibat terpedaya, mangsa mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM285,000 iaitu wang simpanan peribadi dan pinjaman bank.

“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas diminta menyerahkan sejumlah wang tambahan dan gagal menghubungi suspek. Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak panik apabila menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang mendakwa daripada agensi penguat kuasa atau institusi utiliti dan kewangan.

“Sebarang panggilan mencurigakan hendaklah disahkan terus dengan polis atau agensi berkaitan dan dinasihatkan supaya membuat semakan nombor akaun di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi.

“Mereka yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img