KERAJAAN sentiasa komited membantu dan memartabatkan seni tempur negara sebagai warisan bangsa yang boleh diangkat ke peringkat antarabangsa.
Justeru, peruntukan sebanyak RM2 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memartabatkan industri seni mempertahankan diri negara.

Pengasas Pertubuhan Lima Generasi, Datuk Abdullah Ghani Kassim berkata, inisiatif kerajaan menyalurkan peruntukan tersebut dilihat sebagai suntikan penting bagi memastikan seni mempertahankan diri tempatan terus berkembang secara tersusun dan profesional.
Katanya, peruntukan itu akan dimanfaatkan bagi memperkasa program latihan atlet, jurulatih, penganjuran kejohanan, serta usaha mempromosikan seni mempertahankan diri tempatan ke peringkat lebih tinggi.
“Bila ada dana, mula bergerak. Dengan mana-mana gelanggang yang tiada punching bag, buat punching bag, perbesarkan gelanggang. Jadi, Alhamdulillah, impian itu menjadi kenyataan. Target (sasaran) untuk pesilat negara pada masa akan datang, kalau boleh, kita akan perbesarkan lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Apresiasi Pendekar Negara di sebuah hotel di Seremban, malam tadi.
Majlis Apresiasi Pendekar Negara merupakan satu acara berprestij yang julung kali dianjurkan oleh Pertubuhan Lima Generasi Malaysia, hasil cetusan idea daripada Himpunan Pendekar sempena sambutan Hari Malaysia tahun lalu dan turut mendapat sokongan sepenuhnya melalui saluran dana khas daripada Perdana Menteri.
Anwar merupakan satu-satunya Perdana Menteri yang menyediakan peruntukan khas dan signifikan bagi menghargai jasa para pendekar negara yang sekian lama berjuang mempertahankan dan memartabatkan seni mempertahankan diri warisan bangsa, yang juga diiktiraf sebagai benteng pertahanan ketiga negara.
Perdana Menteri turut memberi kepercayaan penuh Abdullah selaku pengasas dan Presiden Pertubuhan Lima Generasi Malaysia untuk merangka serta menyalurkan agihan peruntukan ini.
Dalam pada itu, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin menegaskan, antara fokus utama kerajaan ketika ini adalah memastikan seni persilatan diperkenalkan secara lebih meluas dalam sistem pendidikan, termasuk usaha menjadikan silat sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah.

“Antara lain, kita sekarang sedang berusaha untuk memastikan setiap sekolah mempunyai silat. Kita pastikan anak-anak, terutamanya murid-murid sekolah, mengenali silat sama ada silat seni budaya, silat sukan dan sebagainya,” katanya.
Pada majlis itu juga, enam anugerah disampaikan sebagai pengiktirafan kepada individu-individu dan pertubuhan yang telah mengharumkan nama negara serta berjasa besar dalam arena seni mempertahankan diri tanah air.
Bagi Anugerah Pertubuhan Silat Terpilih, enam pertubuhan silat telah dipilih untuk menerima insentif RM70,000 setiap satu bagi tujuan pembangunan silat iaitu Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong, Pertubuhan Silat Pusaka Hanafi, Sendo Martial Art (Gayong Cikgu Sazali), Awang Daud Martial Art, Gayong Makrifat (Panglima Aduka) dan Pertubuhan Seni Silat Gayong Fattani Antarabangsa (Dr Aziwahija Yeop).
Anugerah Jasa Silat pula diberikan bagi menghargai lima individu yang telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada dunia serta melahirkan juara-juara silat bertaraf antarabangsa iaitu Profesor Dr (Hc) Abd Ghapar @ Jebat Datuk Dr Raja Abd Majid, Tuan Guru Muhammad Wahab, Tuan Guru Ruzaidi (Wak Didi), Tuan Guru Shamsunputra Datuk Dr Raja Abd Majid dan Cikgu Al Jufferi Jamari yang masing-masing menerima insentif RM10,000 setiap seorang.
Bagi kategori Anugerah Ikon Tempur Anak Muda pula, tiga anak muda yang telah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa melalui seni mempertahankan diri (Muay Thai) menerima insentif sebanyak RM10,000 iaitu Johan Ghazali (Jojo Ghazali), Aliff Rakib dan Rifdean Masdoor.
Anugerah Emas Sukan SEA pula diberikan kepada enam atlet negara yang menyumbang pingat emas kepada Malaysia dalam dua kategori sukan seni mempertahankan diri iaitu silat kepada Ummi Mashitah Hassan, Muhammad Izzul Irfan Marzuki dan Nursyafiqah Hamzah manakala Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar, Wassof Rumijam dan Angie Yan Jia Chi bagi acara muay Thai di mana setiap mereka menerima insentif RM5,000 seorang.
Anugerah kelima iaitu Penghargaan Jurulatih Silat Negara diberikan kepada wira-wira yang sering berada di belakang tabir iaitu tiga jurulatih yang mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit demi melahirkan atlet berkualiti iaitu Mohd Fauzi Khalid, Siti Rahmah Nasir dan Nor Hamizah Abu Bakar dan mereka menerima insentif RM5,000 setiap seorang.
Bagi menyemai minat dan kecintaan golongan muda terhadap seni mempertahankan diri, khususnya silat, Anugerah Duta Silat turut diberikan kepada tokoh seni tanah air yang berjaya menarik minat generasi muda iaitu Eman Manan, Ebby Yus dan Beto Kusyairi yang masing-masing menerima insentif sebanyak RM10,000.
Majlis apresiasi malam ini merupakan fasa pertama pelaksanaan inisiatif penghargaan kepada penggiat seni mempertahankan diri negara.


