POLIS kini giat menjalankan siasatan merangkumi semua aspek termasuk pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) kediaman pelajar Universiti Malaya (UM) yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, sehingga kini pelajar berkenaan masih belum ditemukan.
“Siasatan menyeluruh dijalankan termasuk meneliti semua petunjuk yang ada bagi mengesan keberadaan gadis terbabit.
“Ini termasuk pemeriksaan CCTV di kediaman mangsa, jadi siasatan dijalankan merangkumi semua sudut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan pelajar dikenali sebagai Nawal Shahirah Mohd Jamil, 23, dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di sebuah kondominium berhampiran Jalan Profesor Diraja Ungku Aziz, Seksyen 14 di Petaling Jaya pada Selasa lalu.
Pelajar itu mempunyai ketinggian kira-kira 170 sentimeter, berat 65 kilogram, berkulit hitam manis, berbadan sederhana serta berambut panjang berwarna hitam.


