Kerajaan peruntukkan RM350 juta naik taraf Jalan Raya Timur Barat di Perak

KERAJAAN memperuntukkan RM350 juta untuk menaik taraf Jalan Raya Timur Barat (JRTB) melibatkan jajaran di Perak atau laluan FT004 di bawah Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi memastikan laluan itu lebih selamat, selesa dan berdaya tahan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerja-kerja awalan untuk projek berkenaan boleh bermula tahun ini dan berharap sebahagiannya mula dilaksanakan secara fizikal tahun depan.

DATUK Seri Alexander Nanta Linggi meninjau keadaan Jalan Raya Timur Barat di laluan Gerik, Perak hari ini. GAMBAR: Facebook Alexander Nanta Linggi

“Menerusi peruntukan RM350 juta ini, kami akan gunakan RM170 juta di 17 lokasi, satu lokasi RM10 juta untuk kami lebarkan jalan sebagai lorong memotong. Jadi, sudah dikenal pasti ada 17 lokasi, ini akan membantu menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya nanti.

“Itu perancangan kami dan peruntukan kewangan yang kami sudah dapat, memang kami akan memohon tambahan sekiranya ada keperluan,” katanya dalam sidang media ketika melawat JRTB (FT004) termasuk lokasi kemalangan bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun lepas, lapor Bernama.

Nanta berkata, kira-kira RM40 juta juga diperuntukkan bagi melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan JRTB membabitkan jajaran di Perak sepanjang tahun ini sebagai langkah meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

Beliau memberitahu, peruntukan itu melibatkan pelaksanaan pelbagai kerja penyenggaraan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat konsesi, termasuk pembaikan permukaan jalan, pemasangan kemudahan keselamatan serta penambahbaikan pencahayaan.

“Jadi untuk kerja-kerja penyenggaraan, kami ada RM40 juta ataupun sedikit lebih lagi daripada itu, memang dilaksanakan melalui syarikat konsesi di sini (JRTB), iaitu Belati Wangsa Sdn Bhd,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Kementerian Kerja Raya sentiasa memantau keadaan serta keperluan di laluan itu sekiranya memerlukan sebarang penambahbaikan untuk memberi keselesaan serta menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Pada 9 Jun 2025, sebanyak 15 pelajar UPSI maut apabila bas yang mereka naiki dari Jerteh, Terengganu ke Kampus UPSI Tanjong Malim, Perak terbabit kemalangan dengan kereta Perodua Alza di Kilometer 53 JRTB (Jeli-Gerik), Perak.

Daripada jumlah itu, 13 mangsa disahkan maut di tempat kejadian manakala dua lagi meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img