Menteri Luar lapan negara kecam pelanggaran gencatan senjata Israel di Gaza

MENTERI-menteri Luar Mesir, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Pakistan, Turki, Arab Saudi dan Qatar hari ini mengecam keras pelanggaran gencatan senjata Israel yang berulang kali berlaku di Gaza.

Menurut kenyataan bersama, pelanggaran tersebut telah mengakibatkan lebih 1,000 rakyat Palestin terkorban dan cedera, sekali gus mencetuskan kebimbangan serius terhadap kestabilan serantau.

Para menteri menyifatkan tindakan itu sebagai peningkatan berbahaya yang boleh memburukkan ketegangan serta menjejaskan usaha mewujudkan ketenangan, ketika komuniti serantau dan antarabangsa berusaha meneruskan pelaksanaan fasa kedua pelan damai yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Mereka turut menegaskan bahawa pelanggaran berterusan berkenaan menimbulkan ancaman langsung terhadap proses politik dan boleh menghalang usaha menyediakan keadaan lebih stabil di Semenanjung Gaza, khususnya dari sudut keselamatan dan kemanusiaan.

Sehubungan itu, semua pihak digesa memikul tanggungjawab sepenuhnya pada fasa kritikal ini, mengamalkan kawalan diri maksimum serta memastikan gencatan senjata dikekalkan secara berterusan.

Para menteri juga menyeru agar sebarang tindakan yang boleh menjejaskan usaha pemulihan dihentikan, sekali gus membuka ruang kepada proses pemulihan dan pembinaan semula awal di Gaza.

Dalam pada itu, mereka menegaskan semula kepentingan mencapai keamanan yang adil, menyeluruh dan berkekalan, berasaskan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri serta penubuhan sebuah negara merdeka selaras dengan undang-undang antarabangsa, resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Inisiatif Keamanan Arab.

 

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img