PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga berjaya mengagalkan tindakan menyeludup 200 guni beras putih import dan menahan tiga lelaki di Kampung Kebakat, Wakaf Bharu, Tumpat, semalam.
Pemangku Komander PPM Wilayah Tiga, Deputi Superintenden Muhamad Keny Anyie Abdullah berkata, serbuan hasil risikan pukul 9 malam itu dilakukan anggota yang sedang menjalankan rondaan di kawasan Sungai Golok.
‘’Mereka mengesan pergerakan sebuah kenderaan lori mencurigakan dari kawasan Bendang Pok Yong menghala ke Chabang Empat. Pasukan serbuan bertindak mengekori lori itu sebelum menahan kenderaan tersebut di Kampung Kebakat.
“Pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa muatan beras putih import tanpa dokumen sah dan tiga lelaki berusia antara 16 hingga 44 tahun ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 kerana memiliki dan mengawal padi atau beras tanpa sebab munasabah.
“Dua daripada tiga suspek yang ditahan didapati mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah. Beras putih keseluruhan 10 tan itu dirampas bersama sebuah lori dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM290,000,” katanya.=
Beliau memberitahu, kejayaan berkenaan merupakan kes ketiga melibatkan penyeludupan beras putih import yang direkodkan oleh Markas Operasi PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor bagi tahun ini.
“Bagi suku pertama tahun ini sahaja, sebanyak 27 tan beras putih import berjaya dirampas dengan nilai keseluruhan mencecah RM1.1 juta,” katanya.


