Pengisytiharan palsu, pengarah syarikat pengurus ditahan kes tuntutan palsu bekalan lembu, lima termasuk penjawat awam direman

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan pengarah dan pengurus dua syarikat berlainan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras menerusi manipulasi borang pengisytiharan barangan import dan eksport.

Menurut sumber, kegiatan kedua-dua suspek lelaki berusia 30-an dan 40-an itu terbongkar selepas SPRM menjalankan Op Lung bermula 9 Sept lepas dan seterusnya ditahan ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM, semalam.

Beliau berkata serbuan turut dilakukan di 15 syarikat dan lima premis perniagaan yang dikenal pasti sebagai gudang simpanan haram.

“Hasil serbuan tersebut telah menemukan minuman keras pelbagai jenama yang dipercayai diseludup masuk tanpa pengisytiharan cukai kepada kerajaan,” katanya kepada Bernama.

Susulan itu, kedua-dua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 12 Sept selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman dibuat SPRM di Mahkamah Putrajaya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi berkata setakat ini, nilai cukai yang tidak diisytiharkan dianggarkan bernilai RM500,000 dan jumlah itu dijangka meningkat berikutan siasatan lanjut terhadap beberapa lagi premis yang dikenal pasti.

Menurut beliau, SPRM juga telah membekukan 14 akaun syarikat dan empat akaun individu di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA), melibatkan jumlah keseluruhan RM2.4 juta.

“Jumlah itu juga dijangka meningkat susulan pengesanan penglibatan beberapa lagi syarikat dan individu yang dipercayai bersubahat dengan sindiket berkenaan,” katanya.

Azam berkata siasatan SPRM kini tertumpu kepada elemen rasuah, penipuan melalui pengisytiharan palsu serta pengubahan wang haram dan pengesanan aset yang berkaitan.

“SPRM menjangkakan lebih banyak tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat bagi membongkar keseluruhan rangkaian sindiket itu,” katanya.

DI SEGAMAT, lima individu termasuk tiga penjawat awam direman enam hari sehingga 15 Sept ini bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu berkaitan bekalan lembu betina bernilai kira-kira RM400,000.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Rahimah Abd Majid selepas permohonan dibuat pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor di Mahkamah Sesyen Segamat, pagi tadi.

Menurut sumber, kelima-lima suspek yang terdiri daripada seorang wanita dan empat lelaki berusia lingkungan 30 hingga 60-an itu ditahan secara berasingan semalam ketika hadir memberikan keterangan di SPRM Segamat antara 11 pagi  hingga 2 petang.

Siasatan awal mendapati mereka disyaki bersubahat dengan memperakukan dan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan bayaran bekalan lembu betina kepada dua badan berkanun di Johor, sedangkan pembekalan tersebut tidak dilakukan.

“Kesemua suspek yang juga terdiri daripada seorang pemilik dan pengurus syarikat dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada Febuari 2023,” menurut sumber.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img