`Saya tak bermaksud Sarawak mahu berpisah daripada Malaysia’ – Alexander Nanta Linggi

SETIAUSAHA Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjelaskan kenyataannya dalam wawancara radio baru-baru ini tidak bermaksud Sarawak mahu berpisah daripada Malaysia.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata, kenyataan itu bertujuan menggesa rakyat Malaysia hidup bersatu padu dan harmoni.

“Saya tidak pernah maksudkan kita mahu ‘berpisah’ daripada Malaysia. Ia hanya satu ungkapan. Marilah kita hidup dalam keharmonian, keamanan,” katanya di ibu pejabat Jabatan Kerja Raya di ibu negara hari ini.

Dalam wawancara ketika menjadi tetamu dalam The Breakfast Grille di BFM 89.9 minggu lalu, Nanta menyentuh `pertelingkahan dan perbalahan politik berterusan’ di Semenanjung Malaysia, dan berkata `mungkin dari awal lagi, kita memang tidak ditakdirkan untuk menjadi satu bangsa. Sebab itu Tuhan memisahkan kita dengan Laut China Selatan’.

Beliau turut dipetik sebagai berkata: “Jika kita terus berbalah dalam semua perkara, maka jangan salahkan kami, jangan salahkan orang Sarawak. Jika kamu tidak menyukai kami, lepaskan kami sahaja. Lupakan.”

Nanta berkata, sebagai cucu kepada pemimpin Sarawak, Tun Jugah Barieng, seorang daripada individu menandatangani Perjanjian Malaysia 1963, beliau bertanggungjawab melindungi Persekutuan itu.

Kenyataannya mendapat kritikan beberapa pihak, dengan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dilaporkan berkata, penggunaan istilah `berpisah’ dalam membincangkan kedudukan Sarawak di Malaysia `tidak perlu dan tidak membina’.

Bagaimanapun, Presiden Parti Bumi Kenyalang, Voon Lee Shan dilaporkan berkata, kenyataan Nanta hanya mencerminkan kekecewaan dirasai ramai rakyat Sarawak berhubung isu belum selesai di negeri Borneo itu dan Nanta tidak perlu meletakkan jawatannya daripada Kabinet.

Mengulas lanjut, Nanta berkata, kenyataannya diambil di luar konteks, sedangkan mesej sebenar supaya rakyat memfokuskan usaha menambah baik pengurusan ekonomi, bukannya meneruskan perbalahan politik.

Tegas beliau, dalam wawancara itu beliau turut menyatakan dengan jelas beliau sayangkan Malaysia dan mahu melindungi negara ini, tetapi ada pihak hanya memilih untuk menumpukan sebahagian kenyataannya.

“Marilah kita fokus apa yang boleh dilakukan untuk menambah baik cara kita menguruskan ekonomi supaya akhirnya rakyat dapat hidup dalam keadaan lebih baik dan kita terus maju,” kata Ahli Parlimen Kapit itu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img