KES menghina mahkamah membabitkan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung kenyataannya didakwa berkaitan inkues kematian Zara Qairina Mahathir dijadualkan semula kepada 11 Februari.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalan ketika dihubungi mengesahkan penetapan semula pendengaran kes itu yang sepatutnya berlangsung hari ini.
“Mahkamah menetapkan semula ke 11 Februari susulan permohonan pihak pendakwaan, dan dengan persetujuan semua pihak,” katanya, lapor Harian Metro.
Pada 22 September 2025, Mahkamah Koroner mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Presiden Parti Warisan itu susulan kenyataan yang didakwa mengganggu perjalanan prosiding inkues berhubung kematian Zara.
Susulan itu, pada 23 Oktober tahun lalu, Koroner Amir Shah Amir Hassan membenarkan Peguam Negara untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Shafie dan aktivis Che Muna Din, yang juga dikenali sebagai Mona Din.
Kedua-dua pihak berkenaan dikehendaki menjawab dakwaan tersebut di bawah Perintah 52, Peraturan 3(2), Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Pada 18 Disember 2025, Mona Din mengaku bersalah atas kesalahan menghina mahkamah dan didenda RM300 atau 14 hari penjara jika gagal membayar denda tersebut.


