POLIS Johor menemukan rangka enam manusia dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan lima beranak dalam sebuah rumah terbiar yang terbakar di kawasan kebun kelapa sawit di Kangkar Pulai, Skudai pada awal bulan lepas.
Sebelum penemuan itu, seorang lelaki berusia 48 tahun tampil membuat laporan polis bagi menjejaki isteri serta anak-anaknya yang sudah lama terpisah dan dikatakan tinggal di rumah berkenaan yang terletak dalam kebun kelapa sawit.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, lelaki terbabit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri mendakwa dia menemukan rangka manusia di lokasi berkenaan kira-kira jam 1.28 petang pada 9 Januari lalu.
“Susulan laporan itu, sepasukan anggota dan pegawai polis membuat pemeriksaan di lokasi dan menemukan rangka manusia dalam sebuah rumah yang telah terbakar di kawasan kebun kelapa sawit tersebut.
“Hasil bedah siasat oleh pasukan forensik mengesahkan enam rangka manusia terdiri daripada dua dewasa terdiri daripada lelaki berusia 29 tahun dan wanita berusia 35 tahun. Kedua-duanya mempunyai hubungan kenalan.
“Selain itu, empat lagi rangka manusia adalah anak kepada wanita berkenaan iaitu seorang remaja perempuan 17 tahun, kanak- kanak perempuan berusia 5 dan 9 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini, lapor Sinar Harian.
Menurut Ab Rahaman, bedah siasat dilakukan pihak forensik mendapati mayat kesemua mangsa itu dibakar kira-kira tiga bulan lalu.
“Susulan itu, pada 21 Januari lalu, polis menahan empat individu terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita, kesemuanya rakyat tempatan berusia antara 19 hingga 35 tahun di sekitar kawasan Iskandar Puteri bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati mereka mempunyai hubungan sebagai rakan penagih. Manakala semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Menurut beliau, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara Johor dan keputusan dibuat untuk mendakwa dua suspek lelaki di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Manakala dua lagi suspek dibebaskan dengan bon jaminan polis dan dipanggil sebagai saksi.
“Pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu (esok). Jika sabit kesalahan, hukuman boleh dikenakan adalah hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali,” katanya.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan dan prosiding mahkamah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi talian Hotline IPK Johor,” katanya.


