Sindiket counter setting: 27  termasuk 18 pegawai agensi penguatkuasa ditahan SPRM dalam Op Rentas di empat negeri

WALAUPUN tangkapan demi tangkapan dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun  sindiket counter setting tetap juga berlaku.

Ia terbukti apabila seramai 27 individu termasuk 18 pegawai agensi penguat kuasa direman SPRM kerana disyaki terlibat dengan sindiket tersebut bagi melepaskan warga asing masuk ke negara ini tanpa mengikut prosedur ditetapkan.

Kesemua suspek terdiri daripada 19 lelaki dan lapan wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an ditahan menerusi operasi di sekitar Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, menerusi Op Rentas, semalam.

‘’ Susulan operasi itu  SPRM menyita wang tunai lebih RM200,000, beberapa unit barangan kemas, kepingan emas, kereta, motosikal, beg tangan, jam tangan dan peranti telekomunikasi,” kata sumber berkenaan.

Selain itu SPRM turut membekukan 40 akaun perbankan membabitkan 34 akaun individu dan enam akaun syarikat membabitkan nilai lebih RM1 juta.

Sumber memberitahu, keseluruhan seramai 30 individu ditahan dalam operasi itu dengan 27 direman pada hari ini.

“Suspek yang ditahan dipercayai memberi dan menerima wang rasuah sebagai balasan untuk memudahkan urusan kemasukan warga asing ke negara ini tanpa melalui prosedur yang ditetapkan,’’ katanya.

Kesemua suspek direman antara tiga hingga tujuh hari selepas permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam, Ayer Keroh, Seremban dan Kuala Lumpur pagi tadi.

Di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor, Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman membenarkan 13 individu membabitkan empat pegawai penguat kuasa, lima pemilik syarikat, seorang pengurus syarikat dan tiga orang awam lain direman selama tiga hari sehingga 12 September ini.

Di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, Majistret Uthman Abd Ghani membenarkan tiga pegawai penguat kuasa direman empat hari sehingga 13 September ini serta dua lagi direman lima hari sehingga 14 September ini.

Di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan pula, Majistret Sara Afiqah Zulkipli membenarkan lapan pegawai penguat kuasa direman tujuh hari sehingga 16 September ini.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Majistret S Arunjothy membenarkan seorang pegawai penguat kuasa direman lima hari sehingga 14 September ini.

Dalam perkembangan yang sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan tangkapan semua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img