POLIS memberkas suspek lelaki yang menggunakan senjata dipercayai pisau selepas dia bertindak mengejar seorang pelajar perempuan bersama adiknya di kawasan parkir pusat beli-belah di Taman Lagenda, malam tadi.
Mangsa, pelajar universiti berusia 21 tahun dan adiknya ketika itu berada di tempat letak kereta menunggu ahli keluarga mereka untuk masuk ke dalam kenderaan sebelum dihampiri suspek berusia 50 tahun pada jam 9.30 malam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek tiba-tiba memarahi dan menjerit ke arah mangsa serta adiknya sambil memegang sebilah pisau, menyebabkan dua beradik itu takut dan curiga.
“Mangsa yang juga anak sulung daripada empat beradik dan adiknya melarikan diri masuk ke dalam pusat beli-belah itu.
“Suspek mengejar mereka sebelum dilaporkan terjatuh dan dua beradik itu berjaya menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Christopher berkata, kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan suspek yang beralamat di Kelemak, Alor Gajah ditahan beberapa jam kemudian.
Polis turut merampas sebilah pisau, sehelai baju serta sehelai seluar dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, katanya.


