Polis tahan 10 lelaki terlibat pergaduhan di kafe berpunca daripada salah faham

POLIS menahan 10 lelaki bagi membantu siasatan kes pergaduhan membabitkan sekumpulan individu yang dipercayai berpunca daripada salah faham di sebuah kafe di Taman Beringin di ibu negara pada malam Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.10 malam itu, seorang pekerja katering berusia 33 tahun cedera selepas dipukul menggunakan objek seperti kunci mangga serta dibaling topi keledar.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 12.07 tengah malam Sabtu lalu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa bersama rakan berada di sebuah kafe sebelum ternampak sekumpulan lelaki berkumpul berhampiran premis berkenaan.

“Mangsa bersama rakan kemudian menghampiri kumpulan terbabit untuk melihat apa yang berlaku sebelum secara tiba-tiba mereka diserang menggunakan objek termasuk kunci mangga dan topi keledar.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan sakit di bahagian kiri kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati kejadian berpunca daripada salah faham berkaitan seorang remaja lelaki yang didakwa ditampar oleh individu tidak dikenali sebelum itu.

“Sekumpulan lelaki yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk datang ke arah mangsa dan rakan untuk bertanyakan mengenai insiden tersebut sebelum bertindak menyerang mereka.

“Mangsa dan rakannya kemudian melarikan diri dari lokasi kejadian bagi menyelamatkan diri,” katanya.

Menurut Ahmad Sukarno, susulan kejadian itu, polis menahan 10 lelaki tempatan berusia antara 28 hingga 41 tahun.

“Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah. Kesemua suspek direman antara satu hingga tiga hari bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati kira-kira tujuh hingga lapan individu daripada kedua-dua kumpulan terlibat dalam insiden berkenaan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, tular dalam media sosial sebuah video memaparkan pergaduhan melibatkan sekumpulan individu di sebuah kafe di kawasan perumahan berkenaan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img