SEORANG pengerusi sebuah kuil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas kesalahan menceroboh tanah milik orang lain di Jalan Selangor, Dredging, Dengkil pada 19 Jun tahun lalu.
M Paramaguru, 49, yang juga pengawal keselamatan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
Mengikut pertuduhan, dia didapati melakukan kesalahan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan tanah milik Datuk Suhaili Ahmad tanpa kebenarannya.
Kesalahan itu dilakukan jam 4.45 petang di Jalan Selangor, Dredging, Dengkil pada 19 Jun tahun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya, lapor BH.
Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Bagaimanapun peguam tertuduh, Darshela Hari Raja memohon jaminan lebih rendah memandangkan anak guamnya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan RM1,800 sebulan.
“Anak guam sudah berkahwin serta mempunyai dua anak masih kecil masing-masing berusia enam tahun dan 11 bulan, manakala isterinya berumur 41 tahun pula adalah suri rumah yang bergantung dengan pendapatan suami.
“Justeru, kami mohon jumlah wang jaminan lebih rendah dikenakan terhadap tertuduh memandangkan dia memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis serta tiada rekod jenayah lampau,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin, manakala 12 Mac depan sebagai tarikh serahan dokumen.
Tertuduh ditahan di rumahnya di Jalan Selangor, Dredging, Dengkil jam 3.30 petang semalam.
Media sebelum ini melaporkan pemilik tanah persendirian di Taman Topaz, Sepang memberi tempoh seminggu kepada pihak pengurusan sebuah kuil untuk mengosongkan tanah yang diduduki secara haram.
Aktivis masyarakat, Tamim Dahri dilaporkan berkata, pemilik tanah berkenaan iaitu Suhaili mengeluarkan notis supaya semua patung dan harta milik pihak kuil dipindahkan dalam tempoh ditetapkan sebelum tindakan lanjut diambil.
Katanya, notis sudah diberikan kepada pihak pengurusan kuil yang membina beberapa struktur bangunan tanpa kebenaran di kawasan itu sebelum kerja-kerja pengambilan semula tanah dijadualkan pada 9 Januari lalu.


