KETUA Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, insiden kekecohan dalam operasi pengusiran di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur boleh dielakkan melalui perundingan.
Katanya, beliau kesal dengan insiden itu dan bersimpati dengan anggota polis serta orang awam yang tercedera dalam kekecohan itu.
‘’Kekecohan ini sebenarnya boleh dielakkan melalui perundingan. Operasi pemilikan kosong sebenarnya boleh ditangguhkan kerana penduduk sudah pun memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Hari ini kekecohan tercetus apabila Ketua Polis Daerah (OCPD) Dang Wangi, Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman cedera ketika mengawal keadaan sewaktu operasi pengosongan bangunan di kawasan tersebut.
Operasi pemotongan bekalan elektrik dan merobohkan rumah di Kampung Sungai Baru menjadi tegang ketika tindakan pengusiran baki penduduk.
Hamzah berkata, penduduk berhimpun hanyalah demi menyuarakan ketidakpuasan hati kerana isu Kampung Sungai Baru ini bukan semata-mata soal pembangunan, tetapi ia menyentuh maruah dan hak ke atas kediaman serta harta benda mereka.
‘’Isu ini tidak boleh dipandang enteng dan mesti ditangani secara adil dengan memastikan aspek kebajikan, nilai kemanusiaan serta hak asasi rakyat dilindungi dan dihormati oleh semua pihak,’’ katanya.
Mengulas isu yang sama, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan, tindakan pemaju melaksanakan pengosongan terhadap 179 penduduk Kampung Sungai Baru berasaskan perintah mahkamah melalui Order 89 melampaui batas kemanusiaan.
Beliau berkata, operasi itu juga tergesa-gesa memandangkan rayuan penduduk dijadualkan dibicarakan di Mahkamah Rayuan pada 3 Oktober depan.
Katanya, pada 20 Ogos lalu, pemaju memperoleh perintah ex-parte daripada mahkamah yang memberi kebenaran untuk memasuki kawasan termasuk membuka pintu, tingkap, dinding dan bumbung rumah bagi tujuan pengambilalihan.
Namun, kata Ahmad Fadhli, pemaju sepatutnya menunjukkan budi bicara dengan menunggu proses rayuan selesai terlebih dahulu.
“Menghalau penduduk seolah-olah mereka ‘penceroboh’ di tanah sendiri adalah satu tindakan yang zalim. Lebih membimbangkan, perintah Order 89 jelas tidak membenarkan sebarang perobohan atau penggunaan jentera berat.
“Bagaimanapun penguatkuasaan hari ini melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan tindakan agresif pihak pemaju, sekali gus menafikan hak penduduk untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya.
“Pas menzahirkan solidariti penuh buat penduduk Kampung Sungai Baru yang terpaksa berdepan kesusahan mendadak akibat pengosongan ini. Simpati juga dirakamkan kepada anggota polis yang dilaporkan cedera ringan ketika kekecohan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Fadhli berpandangan, kejadian di Kampung Sungai Baru adalah gambaran awal atau ‘teaser’ sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) dilaksanakan kelak.
Tambah Ahli Parlimen Pasir Mas itu, pemaju akan diberi kuasa penuh tanpa budi bicara dan rakyat berisiko dihalau dari kediaman sendiri.
“Pas akan terus memantau rapat perkembangan isu ini dan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada penduduk yang terjejas.
“Kami meminta seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama bangkit membela penduduk Kampung Sungai Baru serta membantah RUU URA yang dijangka dibentangkan semula di Parlimen pada Oktober ini,” ujarnya.


