DUA lelaki berdepan pertuduhan melakukan perbuatan khianat dengan membakar sebuah kereta milik seorang wanita bulan lalu terpaksa menyambut Tahun Baharu Cina di dalam penjara selepas masing-masing gagal membayar jaminan RM10,000 yang ditetapkan.
Terdahulu, tertuduh, Loo Choon Hwa, 37, dan Liew Kuo Seng, 47, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini ketika kertas pertuduhan dibacakan terhadap mereka berdua di hadapan Hakim Roslan Hamid, lapor Harian Metro.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan perbuatan khianat menggunakan bahan api petrol dengan niat mengakibatkan kebinasaan iaitu dengan cara membakar sebuah kereta jenis Proton X70 bernombor pendaftaran PPW 926.
Susulan perbuatan itu mengakibatkan seorang wanita berusia 51 tahun yang juga pemilik kenderaan terbabit mengalami kerugian RM100,000.
Kesalahan terbabit didakwa dilakukan di alamat 26, Medan Muhibbah, Taman Alma, Bukit Mertajam dalam daerah Seberang Perai Tengah, kira-kira jam 5 pagi, pada 17 Januari lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan bakal berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadhirah Abdul Rahim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding, Nadhirah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh, namun tertuduh merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Mac depan untuk sebutan semula dan lantikan peguam.
Kedua-dua tertuduh kemudian dibawa ke penjara selepas didapati gagal membayar jaminan terbabit.
Difahamkan, dua lelaki itu adalah ahli sindiket Along yang berpangkalan di Singapura.


