Remaja maut motosikal terbabit nahas tiga kenderaan di Jalan Mawai–Kuala Sedili

SEORANG remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 15.5 Jalan Mawai–Kuala Sedili, di Kota Tinggi petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa berusia 18 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dilaporkan mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke tempat kejadian untuk tindakan lanjut.

Menurut beliau, kemalangan melibatkan dua buah kereta iaitu Perodua Bezza yang dipandu wanita tempatan berusia 27 tahun dan Perodua Alza dipandu lelaki bukan warganegara berumur 40 tahun.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kedua-dua pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan. Bagaimanapun, pemandu Perodua Bezza telah ditahan bagi membantu siasatan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, selain hilang kelayakan memegang lesen memandu tidak kurang lima tahun jika disabitkan kesalahan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya demi keselamatan bersama.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img