Op TBC Negeri Sembilan : 19 lori disita ingkar larangan kenderaan berat

SEBANYAK 19 lori diambil tindakan selepas didapati melanggar larangan pergerakan kenderaan berat sempena Operasi Tahun Baharu Cina (Op TBC) 2026 dalam tempoh dua hari pelaksanaannya di Negeri Sembilan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, tempoh larangan hanya pada 14 dan 15 Februari lalu manakala selepas perayaan pada 21 hingga 22 Februari.

Jelas beliau, kebanyakan yang ditahan dalam operasi berkenaan adalah pemandu yang bergerak pada sebelah malam yang beranggapan pegawai JPJ tidak bertugas pada waktu berkenaan.

“Sepanjang operasi yang dijalankan dalam tempoh dua hari larangan ini, pihak kami menyita 19 lori yang antaranya membawa buah sawit, susu getah dan gegelung besi di seluruh Negeri Sembilan.

“Alasan yang diberikan pemandu biasanya adalah tidak tahu dan terima arahan supaya meneruskan perjalanan daripada majikan,” katanya ketika ditemui hari ini, lapor Harian Metro.

Jelas beliau, tujuan larangan berkenaan adalah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas, menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan melancarkan perjalanan pulang ke kampung ketika musim perayaan.

Tambah Hanif Yusabra, kebanyakan lori yang ditahan dan disita adalah dalam kategori 2 iaitu larangan perjalanan dari jam 8 malam hingga jam 8 pagi.

“Jumlah 19 lori yang disita dalam tempoh dua hari pelaksanaan sebenarnya agak tinggi. Bermacam alasan diberikan untuk menghalalkan perbuatan mereka ini.

“Sedangkan kami memaklumkan larangan ini sejak dua minggu lalu dan bukan sahaja menerusi media sosial, malah pengusaha lori dipanggil bersemuka dan diberitahu ketika sesi dialog.

“Malah, pelaksanaan larangan ini bukan satu perkara baharu. Ia sudah dilaksanakan bertahun-tahun setiap kali tiba musim perayaan, agak mustahil mereka tidak tahu.

“Namun, masih ada yang mencuba nasib dengan melakukan perjalanan pada sebelah malam atau awal pagi, sebab itu, kita dapat lihat lori dalam kategori 2 paling banyak disita ketika operasi,” katanya.

Mengulas berkenaan jumlah saman sepanjang OP TBC 2026 dari 9 Februari hingga semalam, JPJ Negeri Sembilan mengeluarkan sebanyak 2,974 saman atas pelbagai kesalahan kepada semua jenis kenderaan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img