Ramadan : Raja Salman doakan keamanan untuk Palestin, umat Islam

RAJA Salman bin Abdulaziz Al Saud, Penjaga Dua Masjid Suci, berdoa kepada Allah SWT agar mengurniakan keamanan, kemakmuran dan kestabilan kepada rakyat Palestin, umat Islam serta seluruh dunia sempena Ramadan.

Dalam titah Ramadan 1447 Hijrah kepada rakyat, penduduk asing dan umat Islam di Arab Saudi serta di seluruh dunia, Raja Salman bertitah:

“Kami memohon kepada Allah SWT agar memberkati kami dalam bulan yang mulia ini, menerima segala amal kebajikan kami, dan mengekalkan keselamatan serta kemakmuran di negara kami.”

Melalui titah yang disampaikan bagi pihak baginda oleh Menteri Media Salman Al-Dossary, baginda mengucapkan tahniah kepada umat Islam sempena kedatangan bulan suci itu.

“Kami mengucapkan tahniah kepada anda semua atas kedatangan Ramadan yang diberkati, satu bulan yang dibuka pintu-pintu syurga dan mengandungi satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Kami memohon kepada Allah SWT agar membantu kami dalam berpuasa, mendirikan solat dan melaksanakan ibadah.”

Baginda turut menyatakan kesyukuran atas peranan Arab Saudi dalam berkhidmat kepada tempat-tempat suci Islam di negara itu.

“Kami memuji Allah SWT kerana mengurniakan kepada negara kami yang diberkati ini kehormatan untuk berkhidmat kepada Dua Masjid Suci serta para pengunjungnya, termasuk jemaah Haji dan Umrah. Kami akan teruskan, dengan pertolongan Allah, di atas jalan yang teguh ini sebagaimana yang diasaskan oleh para pemimpin negara ini,’’ titah baginda.

Dalam menyampaikan pesanan kepada umat Islam, baginda bertitah bahawa Ramadan merupakan waktu yang penting untuk pembaharuan rohani dan perpaduan:

“Bulan Ramadan adalah satu kesempatan yang agung untuk menyucikan jiwa, melakukan amal soleh, memperkukuh kasih sayang dan solidariti, serta mensyukuri Allah SWT atas segala nikmat-Nya yang nyata dan tersembunyi,’’ katanya.

Sementara itu, Mufti Besar Arab Saudi dan Pengerusi Majlis Ulama Tertinggi, Salman Al-Fawzan berdoa kepada Allah SWT agar Ramadan kali ini menjadi bulan yang dipenuhi kebaikan, keberkatan, kemuliaan dan kekuatan, serta agar ia kembali kepada umat Islam dalam keadaan aman, beriman, stabil dan makmur.

Beliau juga berdoa agar umat Islam diberikan kejayaan dalam berpuasa dan menunaikan solat malam, serta agar segala amalan soleh mereka diterima.

Mufti Besar turut menyeru umat Islam supaya memperbanyakkan amalan soleh sepanjang bulan suci ini, termasuk solat, zakat, sedekah, berbuat kebaikan, membaca al-Quran, doa-doa yang disyariatkan serta berzikir kepada Allah.

Beliau juga mengingatkan agar menjauhi dosa dan perbuatan mungkar, serta menyeru umat Islam supaya sentiasa bertakwa kepada Allah sepanjang Ramadan — bulan kebaikan, kesolehan dan ketakwaan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img