SEORANG lelaki warga Malaysia ditahan oleh polis Thailand selepas disyaki memiliki lebih 100 pil ekstasi dalam satu operasi di pekan Sungai Golok semalam.
Ketua Polis Sungai Golok, Kolonel Thun Sirikhunt berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan di hadapan TMB Bank di Jalan Charoen Khet.
“Sepasukan polis dari Balai Polis Sungai Golok bersama unit tindakan pantas dan pasukan rondaan Hawk sedang menjalankan rondaan pencegahan jenayah rutin apabila mengesan suspek dalam keadaan mencurigakan.
“Selepas melakukan pemeriksaan badan terhadap lelaki itu, mereka menemui 109 pil disyaki ekstasi. Suspek kemudian ditahan serta-merta,” katanya, lapor Berita Harian.
Sirikhunt berkata, polis Thailand akan terus memperhebatkan rondaan dan aktiviti penguatkuasaan di bandar sempadan bagi membanteras pengedaran dadah dan jenayah lain.
“Kami tidak akan berkompromi dengan pesalah dadah. Sama ada warga Thailand atau warga asing, sesiapa yang melanggar undang-undang akan berdepan tindakan undang-undang tegas,” katanya.
Menurut beliau, lelaki Malaysia itu kini ditahan di Balai Polis Sungai Golok untuk siasatan lanjut.


