ADIK kepada anggota bomba yang hilang lebih 37 jam semasa mandi di Pantai Kandis di Bachok, Kelantan akhirnya ditemukan lemas pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Kanan Penguasa Bomba Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, mayat Ahmad Nuruddin Ab Wahab, 21, ditemukan pada jarak 3.7 kilometer (km) dari lokasi dia dikhuatiri hilang pada Selasa lalu.
“Mayat mangsa ditemukan oleh orang ramai di pesisir Pantai D’Aur dekat sini pada jam 6.55 pagi selepas menerima maklumat daripada Pos Operasi Bomba (POB),” katanya, lapor Sinar Harian.
Menurut beliau, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa jasad anggota bomba yang dilaporkan lemas ketika cuba menyelamatkan adiknya di Pantai Kandis, Bachok ditemukan pada tengah hari Rabu.
Mangsa, Ahmad Badrul Naim Ab Wahab, 32, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Pulau Pinang, ditemukan terdampar di pantai kira-kira jam 12.15 tengah hari pada jarak tiga kilometer dari lokasi beliau dipercayai hilang.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang Selasa, Ahmad Badrul Naim cuba menyelamatkan adiknya, Ahmad Nuruddin, 21, yang dilihat terkapai-kapai, namun kedua-duanya ditelan ombak.
Anak saudara mereka, Mohd Ali Al-Imran Mohd Ezad, 12, yang terbabit dalam kejadian sama, berjaya diselamatkan bapanya, Mohd Ezad Abu Hassan, 40, yang terjun ke laut.


