PEMPENGARUH media sosial, Ariz Ramli atau dikenali sebagai Caprice, mengesahkan telah menghantar notis tuntutan kepada Ahli Parlimen Pandan,Datuk Sei Rafizi Ramli.
Menurut peguam yang mewakili Caprice, Mohd Rezan Ezra Muhd Mosinal, antara tuntutan yang dikemukakan termasuk supaya Rafizi menarik balik kenyataan berkaitan Caprice, memadam semua hantaran yang dibuat serta menghentikan sebarang kenyataan yang disifatkan berunsur fitnah.
Selain itu, kata beliau notis berkenaan turut menuntut permohonan maaf secara terbuka, dengan tempoh diberikan sehingga jam 5 petang esok sebelum tindakan lanjut diambil.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Caprice di Kuala Lumpur hari ini bagi menjawab tuduhan Rafizi bahawa pempengaruh itu telah memfitnah bekas Menteri Ekonomi tersebut.
Rafizi dalam klip video hari ini menyifatkan dakwaan beliau menganugerahkan kontrak kepada syarikat yang ada kaitan dengan dirinya dalam projek solar terbesar 750 MW oleh UEM Lestra adalah fitnah.
Katanya, dakwaan itu yang dibuat Caprice kemudiannya dijadikan bahan kononnya beliau (Rafizi) terlibat dalam kes rasuah RM2.5 bilion.
Menjawab dakwaan Rafizi itu Caprice menegaskan beliau tidak pernah menuduh Rafizi terlibat dalam rasuah atau menyebut sebarang jumlah tertentu seperti yang didakwa.
Sebaliknya, beliau hanya membangkitkan persoalan berkaitan kemungkinan konflik kepentingan.
Beliau menjelaskan video yang dimuat naik sebelum ini bertujuan mendapatkan penjelasan mengenai hubungan lampau Rafizi dengan individu dikenali sebagai Lee Choo Boo, yang didakwa pernah berada dalam syarikat sama sebelum ini.
“Saya hanya mengemukakan persoalan dan memberikan ulasan. Dakwaan kononnya saya menuduh beliau terbabit dalam kes rasuah berjumlah RM2.5 bilion tidak pernah disebut oleh saya. Saya tidak pernah menyatakan perkara tersebut, sebaliknya hanya bertanya mengenai hubungan mereka. Itu sahaja.
“Saya sekadar mengemukakan soalan yang pada pandangan saya adalah relevan,” katanya.
Menurut Caprice, beliau percaya persoalan tersebut wajar dan adil untuk dibangkitkan, sama seperti mana-mana pihak lain yang bebas mengemukakan pertanyaan dalam ruang awam.
Sempena bulan Ramadan, Caprice turut menyatakan kesediaan untuk berdamai dengan Rafizi dan berhasrat menghadiahkan sembilan kuntum bunga ros sebagai simbol perdamaian.
Menurutnya, bunga ros tersebut dijangka bertahan kira-kira tujuh hari dan beliau berharap tempoh itu mencukupi untuk kedua-dua pihak mencapai penyelesaian secara baik.
“Saya menghulurkan tangan untuk berdamai. Kita semua sayangkan negara, dan bulan Ramadan sepatutnya menjadi masa untuk merapatkan semula hubungan,” katanya.


