Kongres DAP tak beri tekanan kepada kestabilan Kerajaan Perpaduan -Fahmi

KESTABILAN Kerajaan Perpaduan tidak akan tertekan berikutan Kongres Khas DAP pada 12 Julai ini kerana ia dianggap proses dalaman parti berkenaan.

Menteri Komunikasi yang Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, parti komponen PH itu telah memaklumkan lebih awal mengenai hasrat mereka untuk mengadakan kongres terbabit.

“Mereka telah maklumkan dari awal ini adalah proses dalaman bagi DAP untuk pastikan keputusan yang dicapai dituruti dalam parti mereka jadi itu adalah proses bagi DAP dalam membuat keputusan,” katanya selepas menghadiri Program Penyatuan Seni dan Budaya Malaysia-Indonesia di Kuala Lumpur hari ini.

Kelmarin Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata, kongres khas itu adalah untuk memutuskan sama ada pemimpinnya perlu melepaskan jawatan dalam kerajaan perpaduan tetapi terus menyokong pentadbiran sekarang di Parlimen.

Beliau berkata, 4,000 perwakilan yang menghadiri kongres itu akan mengundi sama ada pemimpin mereka perlu meletakkan jawatan menteri, timbalan menteri, exco negeri, dan ahli majlis tempatan, serta lantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan, lapor Sin Chew Daily.

Menurut Loke, kongres itu akan berfungsi sebagai ‘referendum dalaman’ memandangkan peristiwa ini kali pertama DAP menyerahkan keputusan sebesar ini kepada kongres, berbanding menyerahkan kepada jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) memutuskan perkara tersebut.

Mengulas lanjut Fahmi berkata,  semua parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan memahami serta menyokong sepenuhnya usaha dan ikhtiar yang dilakukan oleh kerajaan ketika ini.

“Semua parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan memahami dan menyokong usaha serta ikhtiar ini, termasuk rakan-rakan daripada DAP,” katanya.

Beliau berkata, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan beberapa usaha reformasi institusi dan perundangan antaranya termasuk pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun atau dua penggal.

Fahmi  berkata, fokus kerajaan tahun ini bukan sahaja untuk memastikan kedudukan ekonomi negara terus kukuh, termasuk pengukuhan nilai ringgit, malah mempertingkatkan usaha reformasi institusi.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img