Perikatan Nasional rapuh bukan alternatif kepada rakyat – AMK Pulau Pinang

Ketua Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang Muhammad Zakwan Mustafa Kamal menyifatkan Perikatan Nasional bukanlah alternatif yang mampu membawa Malaysia ke hadapan.

Sebaliknya, kata beliau  ia adalah gabungan rapuh yang sarat dengan perebutan kuasa dan perpecahan dalaman seperti mana yang dipaparkan ketika Perhimpunan Tahunan Bersatu Ahad lalu dan  Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas semalam.

Muhammad Zakwan Mustafa Kamal

Berikut kenyataan penuh beliau:

Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang memandang serius perkembangan terkini hasil daripada Muktamar Pas dan Perhimpunan Agung Bersatu yang jelas memperlihatkan kepincangan dalaman serta kegagalan Perikatan Nasional (PN) dalam menampilkan kesatuan dan keutuhan sebagai sebuah gabungan politik.

  • Perebutan kuasa bukan agenda rakyat

Daripada isu calon Perdana Menteri hinggalah desakan agar Pas mengambil alih kepimpinan PN, jelas terbukti bahawa mereka lebih ghairah berbalah soal kuasa daripada membicarakan penyelesaian kepada masalah rakyat. Dalam keadaan ekonomi rakyat semakin terhimpit dengan kos sara hidup yang meningkat, PN masih tidak mampu mengangkat naratif dasar atau solusi yang meyakinkan.

  • Pergolakan dalaman Bersatu: Simptom rapuhnya PN

Insiden kekecohan di Perhimpunan Agung Bersatu serta dakwaan wujud konspirasi untuk menjatuhkan Presiden mereka sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memperlihatkan tahap krisis keyakinan dan kepimpinan yang parah. Jika dalam parti sendiri pun Bersatu gagal menguruskan disiplin dan perbezaan pandangan, bagaimana mereka mampu menguruskan kepelbagaian dan kompleksiti sebuah negara?

  • Dominasi Pas, penolakan Bersatu

Resolusi yang dikemukakan dalam Muktamar Pas menunjukkan hasrat parti itu untuk mendominasi dan menerajui PN, termasuk menonjolkan calon Perdana Menteri daripada Pas. Hal ini bertentangan dengan pendirian Bersatu, sekali gus mencerminkan kerapuhan dan pertentangan terbuka antara rakan komponen PN.

  • Rakyat perlu kepimpinan stabil

Dalam suasana ekonomi global yang mencabar, rakyat menuntut kepimpinan yang stabil, fokus dan mampu mengutamakan penyelesaian masalah rakyat. Kerajaan Perpaduan hari ini sedang berusaha menarik pelaburan asing, memperkukuh dasar ekonomi, serta menjaga kesejahteraan rakyat. Sebaliknya, PN masih terperangkap dalam drama dalaman yang berpanjangan.

  • Kesimpulan

Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang menegaskan bahawa PN bukanlah alternatif yang mampu membawa Malaysia ke hadapan. Sebaliknya, ia adalah gabungan rapuh yang sarat dengan perebutan kuasa dan perpecahan dalaman. Masa depan negara tidak boleh diserahkan kepada pihak yang gagal menampilkan kesepakatan, jauh sekali meyakinkan rakyat tentang visi dan hala tuju mereka.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

spot_img