SEORANG wanita berstatus janda ditangkap penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas disyaki berkhalwat bersama seorang lelaki bujang pada waktu siang dalam bulan Ramadan, semalam.
JAINJ dalam satu kenyataan berkata, pasangan itu ditahan dalam sebuah bilik sewa di sebuah rumah kedai di Skudai, Johor Bahru kira-kira jam 11 pagi, hasil pemeriksaan yang dijalankan berdasarkan satu aduan awam.
Menurut JAINJ, sebaik tiba di lokasi rumah kedai itu, penguat kuasa mendapati pintu jeriji di tingkat bawah berkunci, sebelum kuncinya berjaya dibuka dan penguat kuasa naik secara senyap-senyap ke tingkat atas.
“Penguat kuasa mengetuk beberapa bilik dan pada salah satu bilik selama hampir lima minit sebelum dibuka oleh seorang lelaki yang memakai baju tidur wanita.
“Penguat kuasa pada mulanya menyangka dia adalah wanita tetapi rupanya lelaki berdasarkan suara, rambut dan nama. Keadaan bilik gelap walaupun hari siang.
“Selepas lampu bilik dibuka, terdapat seorang wanita sedang berdiri di belakang pintu bilik juga dengan pakaian baju tidur. Hasil soal siasat, pasangan ini mengaku bukan suami isteri,” katanya, lapor Harian Metro.
JAINJ berkata, pasangan itu masing-masing berusia 20-an dan bekerja di daerah ini, namun lelaki itu masih bujang dan wanita berstatus janda bercerai.
Katanya, apabila ditanya apa yang mereka berdua lakukan dalam bilik, mereka memberitahu tidak membuat apa-apa kerana sedang berpuasa.
“Apabila ditanya kenapa lelaki itu memakai baju wanita, dia kata hanya pinjam baju wanita itu kerana lebih selesa.
“Pemeriksaan di dalam almari mendapati banyak pakaian lelaki dan wanita bercampur sebelum mereka mengaku sudah lebih sebulan duduk bersama menyewa bilik berkenaan,” katanya.
Pasangan itu kemudian ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997.


